Pemain UiTM FC dapat keistimewaan dari pelajar biasa

408

Untuk saingan kempen Liga Perdana musim 2022, pasukan berstatus universiti iaitu UiTM FC bakal membuka tirai menentang Terengganu FC II.

Bagi musim ini, UiTM kembali kepada ‘tujuan’ asal mereka iaitu mahu menjadi platform kepada pemain universiti bermain bola sepak pada peringkat tertinggi.


Bagi kempen 2022, pasukan serba baru ini dibarisi oleh seratus peratus pemain yang merupakan pelajar UiTM sendiri.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) UiTM FC iaitu Ahmad Tarmizy, pelajar-pelajar yang belajar di universiti dan menjadi atlet pada masa sama akan mendapat sedikit keistimewaan.

“Apa yang istimewanya dengan program atlet di UiTM adalah mereka boleh extend pengajian sepanjang hayat mereka.

Jadi tidak timbul isu mereka tak habis belajar kerana mereka diberi pilihan untuk extend pengajian mengikut kesesuaian jadual mereka sebagai atlet. Jadi mereka macam mana sekali pun akan habis belajar, cuma cepat atau lambat sahaja,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ahmad Tarmizy berkata demikian selepas ditanya peratusan pemain/atlet universiti itu yang benar-benar berjaya menghabiskan pengajian mereka.

Sumber foto: UiTM FC Facebook

Terdahulu pasukan yang diberi jolokan The Lions Troops dikhabarkan bakal terkubur apabila mengalami masalah kewangan, tetapi mereka akhirnya diselamatkan pada saat-saat akhir sekaligus dapat kembali beraksi di Liga Malaysia.

Dalam pada itu, Tarmizy berkata selain kehadiran ramai pemain baru, mereka juga kini dalam proses merombak pengurusan dalaman dengan hanya mengekalkan 20 peratus pengurusan lama dan akan membawa masuk 80 peratus pengurusan baru.

Ia selaras dengan objektif Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu kesemua pasukan di Liga Malaysia menjadi kelab swasta menjelang 2023.

Tambahnya lagi, mereka kini dalam proses rundingan dengan pihak yang berminat untuk mengambil alih pasukan UiTM FC dan dijangka pertukaran pemilikan akan berlaku pada penghujung musim ini.

Selain itu, mereka juga sudah mempunyai rangka kerja perniagaan untuk kelab dapat menjana pendapatan sendiri apabila bergerak secara swasta pada musim depan.