Apa akan jadi jika jumlah pasukan Liga Super ditambah, Liga Perdana dibubarkan?

3,777

Liga Malaysia bakal dirombak pada musim hadapan? Terdapat khabar angin yang mengatakan Liga Perdana akan dibubar dan pasukan di liga itu akan dinaikkan ke Liga Super pada musim hadapan.

Desas-desus mengenai rombakan Liga Malaysia semakin menjadi realiti selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pernah mengeluarkan kenyataan dengan berkata saingan Liga Malaysia kurang kompetitif kerana kekurangan perlawanan.


Perubahan liga baru ini akan menyaksikan saingan Liga Super selepas ini akan mempunyai 18 pasukan bertanding dalam satu musim iaitu penambahan enam pasukan dari Liga Perdana sekaligus menjadikan setiap pasukan akan bermain sebanyak 34 perlawanan liga.

Ini kerana ketika ini Liga Perdana hanya mempunyai 10 pasukan yang mana tiga pasukan adalah feeder club (Selangor FC II, Terengganu FC II & JDT II), dan jika enam pasukan sahaja yang akan naik ke Liga Super, bakinya akan bermain di saingan Liga M3.

Sekiranya rombakan Liga Malaysia ini menjadi kenyataan, persoalan utama yang timbul adalah apa akan jadi pada feeder club?

Sumber foto: Kelantan FC Facebook

Walaupun tujuan sebenar feeder club  ini adalah sebagai tempat buat pemain-pemain muda beraksi, tetapi semua sedia maklum feeder club  di sini hanya memberi kelebihan kepada pasukan kaya sebagai tempat ‘penyimpanan’ pemain import untuk digunakan skuad utama jika pemain di skuad utama mengalami kecederaan atau sebagainya.

Tidak dapat dinafikan rombakan liga adalah satu perancangan yang menarik namun ia hanya untuk kebaikan Liga Super sahaja, tetapi bagaimana pula dengan saingan Liga M3?

Ketika ini terdapat 20 pasukan yang sedang bersaing dalam M3 yang mana ia dibahagikan kepada dua kumpulan, dan sekiranya baki pasukan dari Liga Perdana diturunkan ke M3 bagaimana pula susunan terbaru?

Sumber foto: BRM FC Facebook

Adakah M3 akan didominasi oleh ‘bekas’ pasukan Liga Perdana memandangkan bajet mereka lebih besar berbanding pasukan-pasukan lain di M3 yang bajetnya kecil serta majoritinya menggunakan pemain amatur?

Satu lagi masalah yang akan timbul adalah pasukan yang bersaing di Liga M4. Berapa pasukan pula yang akan layak naik ke M3?

Sementara itu, selain rombakan Liga Super dan Liga Perdana, dua lagi aksi liga baru akan diperkenalkan iaitu Liga Simpanan (Reserve League) dan Liga Bawah-17 yang mana ia akan memiliki 18 pasukan bertanding.

Cadangan untuk mewujudkan Liga Simpanan ini pernah disuarakan oleh ketua jurulatih Sabah FC iaitu Datuk Ong Kim Swee ketika satu temubual bersama Harimau Malaya sebelum ini.

Menurut Kim Swee, Liga Simpanan dapat memberi manfaat kepada pemain-pemain di Liga Super yang ingin minit permainan untuk mengekalkan kecergasan mereka.

Bagaimanapun, untuk liga tersebut perlu ditetapkan bahawa sebanyak enam pemain berusia bawah 22 tahun perlu beraksi dalam kesebelasan utama, dan sekiranya ia dilaksanakan pasukan negara akan berada dalam keadaan sentiasa siap sedia kerana sesiapa sahaja yang dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya akan berada dalam prestasi terbaik.

Liga B-17 sememangnya satu cadangan yang menarik kerana ia akan memberi lebih banyak peluang kepada pemain-pemain muda kerana ketika ini Piala Belia dan Piala Presiden didominasi oleh pemain yang berusia 19 hingga 21 tahun.

Tetapi cadangan untuk wujudkan Liga B-17 patut diperluaskan lagi dengan mewujudkan juga Liga B-16 hingga Liga B-8 untuk memberi pendedahan lebih awal kepada pemain-pemain muda supaya apabila mereka naik ke liga lebih tinggi mereka sudah bersiap sedia untuk beraksi kerana sudah mempunyai pengalaman dalam saingan kompetitif.

Adakah ia akan menjadi kenyataan pada musim hadapan? Atau ini adalah satu lagi cadangan yang akan senyap sepi dari masa ke semasa? Sama-sama kita tunggu.