Habuan menanti pemain BRM FC jika dapat tumbangkan JDT

26,806

Pasukan BRM FC telah mencipta kejayaan bermakna apabila menumpaskan Tun Razak City FC pada perlawanan pusingan pertama Piala FA dengan jaringan 2-1 menyaksikan mereka bakal menentang juara lapan kali Liga Super, JDT, di pusingan kedua.

“Alhamdulillah kami berjaya menang ketika melawan Tun Razak City FC. Sejujurnya sebelum perlawanan saya sudah maklumkan kepada pemain-pemain saya ‘apa-apa sekali pun kita mesti kena menang dengan TRC FC’.

Presiden TRC FC sebelum merupakan Timbalan Presiden di sebuah kelab di Kuala Kangsar juga sebelum beliau ke sana. Beliau juga merupakan sahabat saya juga tetapi kami ada sedikit perseteruan, oleh kemenangan yang diraih kami adalah satu kemenangan yang cukup bermakna,”

kata Ketua Pegawai Eksekutif BRM FC iaitu Muhamad Ghafari Muhamad Nasir kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: BRM FC Facebook

Walaupun bakal berdepan dengan gergasi Harimau Selatan untuk pusingan kedua Piala FA, Ghafari berkata pemain-pemainnya tidak akan berasa gentar.


“Saya dan pemain-pemain tidak gentar untuk berdepan JDT kerana ia akan menjadi satu pengalaman yang cukup bagus untuk kami. Kita tahu JDT adalah sebuah pasukan yang cukup hebat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.

Jadi ia akan menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna buat kami. Kami akan berikan saingan sengit ketika bertemu nanti dan tidak akan sesekali cepat mengaku kalah kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.”

Tambahnya lagi, tidak dapat dinafikan berdasarkan atas kertas JDT adalah pasukan pilihan, tetapi beliau telah memberitahu kepada pemain-pemainnya untuk berjuang sebaik mungkin dan tidak memikirkan soal kekalahan.

Ini kerana jika mereka kalah ia adalah sesuatu yang sudah diramal, tetapi jika mereka menang ia pasti akan menjadi sejarah yang tidak akan dilupakan oleh peminat bola sepak tanah air.

Untuk menaikkan lagi semangat para pemainnya, Ghafari berkata pihak pengurusan BRM FC telah menjanjikan ‘habuan’ kepada pemain sekiranya mereka mampu membuat kejutan kelak.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai habuan yang dijanjikan kepada pemain buat masa ini.

Sementara itu, BRM FC yang bersaing dalam kumpulan B Liga M3 kini berada di puncak liga selepas berjaya mencatat dua kemenangan dan satu seri.