“Tambah pasukan dalam Liga Super adalah satu cadangan yang baik”

241

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PJ City FC, Ganesan Shanmugam menyambut baik sekiranya cadangan untuk menambah pasukan dalam saingan Liga Super menjadi realiti.

Menurut Ganesan, walaupun beliau belum mendapat maklumat secara rasmi mengenai perkara ini tetapi beliau akan menyokong cadangan itu.


“Secara rasmi kami masih belum diberitahu, tetapi penambahan pasukan dalam saingan Liga Super bagi saya adalah satu cadangan yang cukup baik.

Jika kita lihat liga bola sepak di rantau lain terutamanya liga utama, mereka bermain sekurang-kurangnya 40 permainan setiap musim, jadi ia satu perkembangan yang sangat baik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, walaupun masih tidak tahu format apa yang akan diguna pakai jika rombakan liga berlaku tetapi ia dapat membantu pemain-pemain tempatan mendapat lebih banyak minit permainan sekaligus meningkatkan prestasi mereka.

Selain dapat meningkatkan kualiti pemain, ia juga dapat memberi manfaat kepada skuad Harimau Malaya apabila akan mempunyai ramai pemain yang bersiap sedia untuk menyarung jersi negara.

Dalam pada itu, ditanya bagaimana pihak pengurusan pasukan yang diberi jolokan The Phoenix berjaya mengurus kelab tanpa sebarang kontroversi termasuklah isu gaji, Ganesan berkata mereka hanya berbelanja ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Sebelum membuat perancangan pasukan, kami akan membuat bajet terlebih dahulu dan selepas itu baru kami tandatangani pemain, bukannya beli pemain dahulu, kemudian ada masalah gaji di kemudian hari. Jika ikut bajet, pasti tiada masalah akan timbul.”

Sementara itu, Ganesan turut menjawab persoalan peminat yang ternanti-nanti bilakah pelancaran jersi baru PJ City FC memandangkan saingan liga sudah pun bermula.

“Berlaku sedikit kelewatan pada musim ini kerana ada masalah logistik sikit untuk jersi home. Jersi away  sudah ada tapi kami ambil keputusan untuk lancar sekali, dan kami berharap lagi dua minggu kami akan lancarkan jersi baru.”

Terdahulu skuad kendalian P. Maniam telah mengejutkan ramai apabila menumpaskan pasukan Melaka United FC pada perlawanaan pertama Liga Super.

Prestasi cemerlang mereka sekali lagi ditagih untuk perlawanan liga yang mana mereka akan bertandang ke Stadium Likas untuk menentang Sabah FC yang dibarisi ramai pemain-pemain bintang.