SNBJ sudah tukar rumput ke belum untuk persiapan kelayakan Piala Asia 2023?

3,290

Baru-baru ini ketua jurulatih baru Malaysia iaitu Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan beliau telah melakukan lawatan ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang merupakan gelanggang rasmi skuad negara.

Difahamkan stadium berkapasiti lebih 87 ribu itu akan menjadi gelanggang yang akan dijadikan sebagai tempat pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 Jun depan.


Malah skuad Harimau Malaya juga akan menggunakan SNBJ sebagai tempat latihan menjelang pusingan kelayakan tersebut.

Namun berdasarkan gambar yang dimuat naik, ternyata SNBJ masih lagi menggunakan rumpat lembu (cow grass) dan ini mencetuskan tanda tanya peminat yang mana pada tahun lalu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dilaporkan telah memeruntukkan RM10 juta untuk menggantikan rumput yang ada kepada rumput berkelas dunia.

Proses penukaran rumput padang dikatakan akan mengambil masa selama sembilan bulan sekaligus mencetuskan persoalan bila agaknya proses menukar rumput baru akan dilakukan kerana sudah hampir setahun tiada khabar berita.

Berbeza pula dengan tindakan pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan selepas peminat mengkritik keadaan padang di Stadium Larkin seperti ‘bendang’ ketika perlawanan JDT II dan Kelantan FC.

Menerusi satu kenyataan daripada yang dikeluarkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memaklumkan bahawa mereka akan menaik taraf padang Stadium Larkin dari rumput lembu ke Zeon Zoysia.

Bukan di Larkin sahaja, tetapi rumput di Stadium Pasir Gudang dan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam turut akan ditukar.

Skuad kebangsaan bakal mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa pada hujung bulan ini dan sehingga kini masih belum ada sebarang berita di mana mereka akan bermain jika bermain sebagai tuan rumah.

Adakah skuad negara akan menggunakan fasiliti JDT sekali lagi sebagai home? Sampai bila mahu mengharapkan bantuan dari JDT? Buat apa bina SNBJ yang merupakan antara salah sebuah stadium terbesar di dunia jika hanya untuk ‘pameran’ sahaja?

Ibu pejabat baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah pecah tanah, agaknya bila rumput padang akhirnya akan ditukar?