Kalau bola sepak fizikal nak ke Piala Dunia agak mustahil, tapi kalau Piala eDunia, kita ada peluang – Pengurus eSports Malaysia

189

Tidak dapat dinafikan eSports telah mencetuskan fenomena baru di seluruh dunia yang mana ia kini menjadi sukan alternatif kepada sukan tradisional.

Malaysia juga tidak ketinggalan apabila semakin ramai melahirkan pemain-pemain eSports yang bertaraf dunia, maka tidak hairan dalam eFIFA, Malaysia berada di rangking keempat dunia.


Melihat potensi besar yang ada pada eSports negara, pengurus pasukan eSports Malaysia iaitu Kelvin Pang Ching Kuen menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu layak ke Piala eDunia.

“Sejujurnya saya bukan hendak mengkritik skuad bola sepak negara tetapi saya rasa pasukan kebangsaan tak mungkin layak ke Piala Dunia dalam hayat saya, tapi kalau Piala eDunia kita memang ada peluang cerah untuk layak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kelvin tidak dapat memberitahu gambaran jelas bila Malaysia akan mendominasi eFIFA, tetapi beliau menjangkakan dua tahun lagi Malaysia akan menjadi nombor satu dunia dalam eFIFA.

Dalam pada itu, selain mengurus pasukannya Kelvin juga dalam misi untuk mendidik ibu bapa untuk mereka mengubah persepsi negatif mengenai eSports ini.

“Saya ambil masa 17 tahun untuk menyakinkan ibu bapa saya, jadi bila saya buat bengkel mengenai eSports, ramai yang tanya bagaimana untuk yakinkan ibu bapa mereka.

Jadi ini adalah objektif dan matlamat saya untuk bantu mereka yakinkan ibu bapa mereka.”

Sementara itu, untuk Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada Mei depan, Malaysia akan menghantar pasukan yang mana mereka menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas.

Sebelum ini ketika di Sukan SEA Filipina, kontinjen negara berjaya membawa pulang satu emas dan satu gangsa.