Sasaran Rahadiazli Rahalim untuk sarung jersi Harimau Malaya tahun ini jadi realiti

2,605

Penjaga gol tinggi lampai Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim bersyukur apabila mendapat tahu namanya tersenarai dalam 30 pemain yang akan dipanggil untuk sertai kem latihan pusat Harimau Malaya.

Ketua jurulatih baru skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan memulakan latihan pada 14 Mac ini bagi memilih pemain yang akan dibawa ke Singapura bagi menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022).


“Alhamdulillah saya gembira apabila nama saya tersenarai untuk sertai kem kebangsaan. Sebelum ini saya pernah dapat panggilan ketika Tan Cheng Hoe tapi tak dapat turut serta kerana mengalami kecederaan.

Jadi apabila sudah dapat panggilan dari Kim Pan-gon, saya akan pastikan saya berusaha lebih keras untuk memikat ketua jurulatih,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: TFC FB

Rahadi bakal berdepan saingan sengit daripada beberapa penjaga gol berpengalaman seperti Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al-Hafiz.

Mengakui mempunyai kelebihan dari segi fizikal iaitu ketinggian, namun itu bukanlah tiket jaminan buatnya untuk mendapat tempat dalam skuad utama sebaliknya beliau perlu bekerja keras untuk pastikan beliau layak.

Beliau yang diminta mengulas mengenai barisan pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat kali ini, Rahadi berkata jurulatih baru tidak membuat perubahan besar dari segi pemain dan separuh daripada pemain yang dipanggil adalah pemain yang beraksi di Piala AFF 2020 hujung tahun lalu.

“Saya rasa pemilihan pemain kali ini mungkin berdasarkan penilaian permain terdahulu daripada Tan Cheng Hoe sendiri sebab beliau masih belum melihat lagi keseluruhan pemain beraksi di Liga Super, jadi beliau akan tengok ketika pemilihan terlebih dahulu.”

Walaupun senarai 30 pemain mendapat kritikan peminat, namun terdapat beberapa perubahan membabitkan pemain naturalisasi apabila penyerang sensasi Guilherme de Paula tidak disenaraikan, sebaliknya Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh kembali dipanggil semula.

Skuad negara akan menjalani latihan selama lapan hari sebelum terbang ke Singapura pada 22 Mac.

Malaysia akan menentang Filipina pada 23 Mac, Singapura pada 26 Mac dan akan terakhir akan menentang Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac.