Bukan pemain saja tak dapat gaji, pegawai & staf juga dah 7 bulan tak dapat gaji – Staf Perak FC
Kemelut tunggakan gaji yang berlaku dalam pasukan Perak FC kini semakin memuncak apabila bukan sahaja pemain yang tidak dapat gaji tetapi juga barisan kejurulatihan dan staf pasukan itu sendiri.
Lebih menyedihkan apabila mereka yang berada di belakang tabir ini sudah tujuh bulan tidak menerima sesen pun wang hasil titik peluh mereka berikutan sering ‘ditipu’ oleh pihak pengurusan Perak.
Salah seorang staf skuad The Bos Gaurus yang sudah tidak tahu lagi hendak mengadu kepada siapa telah tampil menceritakan situasi sebenar yang berlaku.
“Saya harap sangat pihak pengurusan dapat beri perhatian kepada kami pegawai dan staf bawahan dan bukan pemain sahaja. Kami sebenarnya sangat terkesan. Agak terkilan apabila ramai yang lebih fokus pada pemain tapi staf seperti kami sering diabaikan.
Masuk bulan Mac ini sudah 7 bulan kami tidak dapat gaji. Kami ada keluarga nak sara, simpanan juga sudah habis digunakan untuk menampung perbelanjaan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Menurut staf Perak tersebut, beliau sendiri kini terpaksa mencari kerja lain bagi menampung isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.
Beliau juga sudah tidak tahu lagi samada untuk percaya dengan janji pihak pengurusan lagi atau tidak kerana sudah banyak kali janji tidak ditepati.
Dalam pada itu, apa yang membuatkannya berasa sangat sebak apabila anaknya yang berusia lapan tahun sanggup melepaskan jawatan sebagai pengawas sekolah berikutan tahu beliau tidak mampu.
“Anak saya berusia lapan tahun dan satu hari selepas dia pulang dari sekolah dia beritahu saya dia dapat jadi pengawas tetapi dia tolak kerana tahu saya tak ada duit nak beli baju pengawas. Saya terkedu dan berasa sangat sebak apabila anak sekecil ini sudah memahami situasi yang berlaku pada saya.”
Sementara itu, beliau mengakui tahu pihak pengurusan tidak mempunyai kewangan kukuh ketika ini selepas bertukar pengurusan, tetapi sekurang-kurangnya mereka bayar tunggakan gaji secara ansuran supaya kami dapat juga tampung sedikit perbelanjaan.
Beliau juga berkata dirinya dan staf lain kini terpaksa ‘bersembunyi’ di rumah apabila pihak bank terus menerus menghubungi mereka untuk menuntut hutang.
Selepas beberapa mungkir janji, terbaru pihak pengurusan membuat janji baru apabila berkata mereka akan melunaskan tunggakan gaji selewat-lewatnya 20 Mac ini.
Walaupun tidak meletakkan harapan tinggi dengan janji terbaru pengurusan Perak, tetapi beliau tetap berharap agar mereka dapat kotakan janji mereka supaya beliau dan keluarga dapat keluarga dari kesengsaraan hidup yang dihadapi ketika ini.