Terus bergelut untuk swastakan pasukan Liga Malaysia atau beralih ke liga semi-pro?

1,269

Setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia kini sedang melalui proses penswastaan yang mana setiap pasukan terutamanya dari persatuan negeri kini perlu bergerak sendiri secara profesional.

Bagaimanapun keputusan untuk menswastakan pasukan bagi memenuhi standard dan syarat Asian Football Confederation (AFC) untuk memastikan saingan liga lebih kompetitif telah bertukar menjadi sebaliknya.


Ini kerana secara realistiknya hanya beberapa pasukan sahaja yang mampu untuk diswastakan sepenuhnya dan tidak keterlaluan jika mengatakan hampir 90% pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana bergelut untuk swastakan pasukan mereka sepenuhnya buat masa ini.

Ketika ini pasukan yang benar-benar diuruskan secara profesional adalah juara lapan kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mana ia dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Sumber foto: JST Facebook

Selangor FC, Negeri Sembilan FC dan Sri Pahang FC mula mengikut jejak langkah JDT apabila pasukan bola diambil alih oleh kerabat diraja, jadi tidak hairan mereka mampu berdiri di kaki sendiri berikutan mempunyai kewangan yang sangat kukuh.

Selebihnya masih lagi bergelut untuk mencari pemilik baru kerana tidak banyak pihak yang sanggup untuk membeli pasukan bola sepak ketika ini berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

Tambahan pula pasukan bola sepak di negara kebanyakkannya mempunyai orang-orang politik sekaligus ‘menakutkan’ bakal pemilik baru kerana semua sedia maklum orang politik ini hampir kesemua mereka tiada jiwa bola sepak, tetapi mereka ada jawatan dalam pasukan bola sepak demi kepentingan diri sendiri.

Sumber foto: Perak FC Facebook

Jadi tidak hairanlah apabila kita melihat banyak pasukan bola sepak yang jahanam akibat orang-orang politik ini. Terbaru, pasukan KL City FC (KLCFC) menjadi mangsa terbaru mainan politik dalam pasukan itu yang merebut kuasa sehingga menyebabkan gaji pasukan sudah berbulan tidak bayar.

Selain orang politik, satu lagi ancaman yang menjahanamkan bola sepak tempatan adalah scammer. Ia telah berlaku pada pasukan Perlis beberapa tahun lalu dan kini skrip yang sama bakal berulang kepada pasukan Perak FC pula yang kini berada diambang kejatuhan berikutan berdepan pelbagai masalah terutamanya masalah tunggakan gaji.

Peminat bola sepak tempatan sangat mengharapkan agar kerabat diraja dapat menyelamatkan pasukan mereka sehingga sesebuah pasukan itu benar-benar dapat diswastakan.

Dari orang politik ke scammer, satu lagi punca yang menyumbang kepada masalah tunggakan gaji adalah kontrak gaji pemain itu sendiri. Percaya atau tidak gaji pemain Liga Malaysia lebih tinggi dari pemain dari Liga Thailand yang kualitinya lebih jauh baik dari liga tempatan.

Bukan itu sahaja, isu dua kontrak (under table) turut menjadi penyumbang yang mana pemain itu mempunyai dua kontrak yang mana satu kontrak rasmi yang memaparkan separuh dari gaji yang dirunding dan baki separuh dalam kontrak (under table). Ia dilakukan kerana mahu elak dari cukai.

Sumber foto: Selangor FC

Pelbagai lagi masalah dalaman yang sebenarnya tersembunyi dan tidak pernah didedahkan kepada sesiapa terutamanya peminat bola sepak tanah air.

Oleh itu, jika hendak menswastakan pasukan, tetapkan sasaran 10 tahun untuk mencari pemilik paling sesuai yang benar-benar mempunyai keghairahan dalam dunia bola sepak dan bukannya orang politik.

Rasanya jika MFL ambil tindakan drastik meneruskan liga tetapi menukar status kepada liga semi-pro, mungkin akan ada yang protes tetapi ramai yang akan bersetuju kerana apabila pasukan berstatus semi-pro, pemain import akan kurang atau tidak ada langsung sekaligus dapat menyelamatkan pasukan dari menderita secara kewangan.