Kerajaan negeri juga perlu selamatkan skuad Presiden Perak FC

231

Terbukti kebanyakan pasukan Liga Malaysia masih lagi belum bersedia untuk diswastakan sepenuhnya dalam tempoh tiga ke lima tahun lagi berdasarkan situasi ketika ini.

Sejak musim lalu, Perak FC menjadi bualan ramai penyokong bola sepak tanah air apabila mereka terpalit dengan kontroversi tunggakan gaji yang melarat sehingga ke musim 2022.


Apa yang berlaku di Perak sangat menyedihkan apabila pemilik baru iaitu Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd yang sepatutnya membantu pasukan yang diberi jolokan The Bos Gaurus itu kembali ke zaman kegemilangan mereka tampak mustahil.

Ini kerana IMC sendiri berdepan masalah apabila tidak membayar gaji pemain, barisan kejurulatihan dan staf pasukan sudah lebih tujuh bulan menyebabkan ramai yang sengsara ketika ini.

Pada musim ini Perak mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan skuad Piala Presiden telah membuatkan pemain-pemain dalam situasi getir kerana mereka bukan sahaja tidak mendapat gaji tetapi juga tidak mendapat minit permainan.

Memandangkan tiada solusi dari pihak IMC, maka pihak kerajaan negeri Perak menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak telah mengambil keputusan menjadikan skuad Piala Belia Perak sebagai ‘anak angkat’ persatuan itu.

Skuad ‘anak angkat’ MSN Perak akan mewakili Perak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) nanti.

Kesemua pemain ini akan menginap di asrama milik MSN serta menikmati segala kemudahan di dalamnya termasuk makan lima kali sehari selain pemberian elaun.

Perak ketika ini telah dikenakan sekatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi pengambilan pemain baru samada pemain tempatan mahupun import berikutan gagal melangsaikan hutang serta tunggakan gaji.

Disebalik segala musibah yang berlaku kepada Perak, penyokong kini mendapat sinar harapan baru apabila satu sumber telah mendedahkan bahawa pasukan itu bakal mempunyai pemilik baru tidak lama lagi.

Bakal pemilik baru itu dikatakan akan bertemu dengan Malaysian Football League (MFL) bagi membincangkan lanjut soal pembelian pasukan itu selain bersedia untuk melangsaikan segala hutang Perak dengan syarat pihak IMC tidak boleh lagi berada dalam pasukan.

Tiada pengesahan yang dapat dibuat lagi pada masa ini dan sekiranya berita ini benar, maka ia sesuatu yang cukup positif buat pasukan Perak kerana mereka sudah lama sengsara dengan masalah.

MFL telah menetapkan pada tahun 2023 kesemua pasukan dalam saingan Piala Malaysia perlu diswastakan dan berdasarkan situasi semasa, nampaknya perkara itu amat sukar menjadi kenyataan kerana sehingga kini banyak pasukan yang masih berharap kepada kerajaan negeri.

Sampai bila kerajaan negeri akan terus terlibat dalam pasukan bola sepak? Kita lihat saja pada musim hadapan.