Steffi Sidhu harap saingan liga bola sepak wanita segera diwujudkan

508

Pemain bola sepak dan futsal negara, Steffi Sidhu berharap agar saingan liga wanita bola sepak wanita dapat diwujudkan dengan segera supaya mereka akan dapat lebih banyak perlawanan kompetitif.

“Saya harap selepas ini saingan liga akan diteruskan lagi supaya saingan akan menjadi lebih kompetitif.

Dengan SOP (prosedur operasi standard) sudah semakin longgar, jadi saya berharap sangat lebih banyak saingan liga wanita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Baru-baru ini dunia bola sepak wanita tempatan menjadi bualan ramai apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk tidak menghantar skuad wanita ke temasya Sukan SEA Hanoi atas alasan tidak mahu mereka dimalukan pihak lawan.


Tindakan itu nyata telah mencetuskan kemarahan ramai yang menganggap alasan yang diberikan FAM adalah tidak munasabah dan bersifat double standard kepada skuad wanita.

Saingan bola sepak wanita semakin mendapat sambutan daripada ramai terutamanya selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menganjurkan Liga Super Wanita FAS.

Susulan itu, beberapa persatuan bola sepak negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka dan beberapa lagi kini mengikut jejak langkah Selangor yang mahu menganjurkan saingan liga bola sepak wanita.

Terdahulu, ketua pasukan kebangsaan wanita negara, Steffi, yang bermain untuk pasukan futsal Selangor MBSJ telah berjaya menewaskan pendahulu MPFL 2022 Wanita iaitu Melaka dengan jaringan 2-1 sekaligus merampas takhta puncak liga.

Dalam pada itu, Steffi juga berharap selepas ini bola sepak wanita negara akan setaraf dengan bola sepak lelaki yang mana mereka bukan sahaja bermain dalam karnival tetapi secara home dan away.