Masalah timbul selepas kami menang Piala Malaysia – Bojan Hodak

52,236

Ketua jurulatih KL City FC (KLCFC), Bojan Hodak memberitahu moral pemainnya dalam keadaan yang baik dan tidak terjejas langsung berikutan pasukan itu kini berdepan kemelut tunggakan gaji.

Menurut Bojan, isu ini bukanlah aneh bagi KLCFC kerana musim lalu mereka turut berdepan situasi sama tetapi pihak pengurusan bertemu dengan semua bagi menjelaskan situasi.


“Lihat, pada musim lalu ketika kita menang Piala Malaysia (menentang JDT) kami juga berdepan masalah gaji tiga bulan – Oktober, November dan Disember lambat. Bagaimanapun apabila perkara ini terjadi, pihak pengurusan akan pantas memaklumkan kepada pemain.

Apabila mereka jelaskan situasi sebenar, pemain-pemain menerima dan tiada masalah. Pemain sangat terbuka jika anda bertemu dan menerangkan situasi sebenar mereka akan faham,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KLCFC FB

Tambah Bojan lagi, beliau tidak langsung terkejut atau kesal dengan masalah yang terjadi kerana isu gaji ini sudah sinonim dengan Liga Malaysia yang mana setiap tahun pasti ada pasukan yang berdepan masalah sama.

“Walaupun ia tidak sepatutnya jadi, tetapi di sini ia sudah menjadi normal kerana setiap tahun pasti ada pasukan yang berdepan masalah gaji. Malah banyak lagi isu sama berlaku tetapi tidak didedahkan kepada umum.”

Dalam pada itu, Bojan yang ditanya mengenai kemelut yang berlaku dalam pasukan KLCFC ketika ini, berkata semuanya ‘berpunca’ dari kemenangan Piala Malaysia.

“Pada awal saya masuk semuanya okay sahaja. Bajet pasukan kami adalah nombor dua terendah dalam Liga Super tetapi semuanya berjalan dengan lancar. Bagaimanapun selepas kami menang Piala Malaysia, masalah timbul.

Ini kerana semua ingin masuk KL dengan beranggapan ‘jika saya masuk dalam pasukan ini saya akan buat lebih baik dari pihak yang ada ketika ini’, realitinya ia bukanlah mudah seperti yang disangka.”

Sumber foto: KLCFC FB

Ketika dalam temubual eksklusif Harimau Malaya bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad baru-baru ini, beliau telah mendedahkan bahawa bakal pemilik baru KLCFC bakal ‘tendang keluar’ Ketua Pegawai Eksekutif, Stanley Bernard jika mereka berjaya ambil alih, dan jika Stanley dipecat sudah semestinya Bojan akan turut sama tinggalkan pasukan.

Bojan yang ditanya mengenai perkara ini enggan mengulas lanjut kerana baginya fokusnya kini adalah pada pasukan dan beliau tidak mahu ramal apa yang akan berlaku pada masa depan.

Baginya dalam dunia bola sepak ini tidak boleh dijangka dan beliau tidak memikirkan soal masa depan kerana menghormati kontraknya bersama KLCFC.

Sementara itu, Bojan turut gembira apabila Zhafri Yahya mendapat panggilan untuk menyertai kem Malaysia yang bakal mengharungi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Singapura pada hujung bulan ini.

“Pemilihan Zhafri adalah satu keputusan tepat daripada ketua jurulatih Harimau Malaya kerana beliau merupakan pemain paling konsisten.”