Jika saya masih CEO Perak FC lepas ini, saya akan anggap sumbangan TMJ sebagai pinjaman

23,306

Dunia bola sepak tanah air menjadi panas apabila pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan baginda pernah membantu beberapa pasukan yang berdepan masalah kewangan.

Antara salah sebuah pasukan itu adalah Perak FC yang menerima bantuan dana berjumlah RM400,000 untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pasukan itu.


Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak iaitu Muhammad Yunus Zakariah mengakui mendapat dana daripada TMJ selepas pihaknya bertemu dengan baginda bagi meminta bantuan selepas segala usaha untuk mencari penaja bagi menyelesaikan tunggakan gaji tidak berjaya.

“Bertemu dengan TMJ adalah pilihan terakhir kami. Kami terdesak. Bagaimanapun saya ada beritahu Pengerusi Eksekutif saya sebelum ini walaupun TMJ bermurah hati memberi bantuan tanpa bercakap langsung mengenai pembayaran semula, tetapi soal pembayaran semula sudah ada dalam kepala kami.

“Saya juga berharap agar bakal pemilik atau pelabur baru nanti akan berfikiran sama, dan jika saya masih lagi diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai CEO selepas ini, saya akan pastikan sumbangan daripada baginda sebagai satu pinjaman yang perlu dibayar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Yunus, industri bola sepak tanah air sangat beruntung kerana mempunyai individu/pihak seperti TMJ yang mempunyai kapasiti dalam membantu industri ketika situasi memerlukannya.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju apabila ada pihak yang mendakwa banyak pasukan di Liga Malaysia mengambil kesempatan di atas sikap murah hati TMJ.

Dalam pada itu, Yunus yang ditanya samada kontrak 13 pemain baru Perak iaitu Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal dan beberapa lagi sudah terbatal atau tidak, beliau menafikan perkara itu.

“Kontrak setiap pemain mempunyai klausa yang mana mereka boleh meninggalkan pasukan sekiranya tidak mendapat gaji dua bulan. Kami sentiasa berhubung dengan pemain supaya tidak meninggalkan pasukan.

“Jika anda tanya samada kontrak mereka masih sah atau tidak, saya sebagai CEO Perak, kontrak itu masih lagi sah tapi saya faham dengan keluhan peminat yang tidak berpuas hati apabila pemain-pemain itu tidak dapat turun beraksi.

Bagaimanapun inilah yang perlu kami hadapi ketika ini, dan kami berharap sangat perkara ini dapat diselesaikan dengan segera.”

Terdahulu Perak dikenakan larangan perpindahan berikutan mempunyai empat kes FIFA membabitkan pemain import yang sehingga kini masih selesai.

Jumlah tunggakan RM1.7 juta yang disebut-sebut itu sebenarnya tunggakan untuk pemain import sahaja, dan jumlah keseluruhan tunggakan gaji pasukan The Bos Gaurus adalah sekitar RM2.3 juta.