Ikhsan Fandi boleh, kenapa pemain tempatan tak boleh?

6,685

Rasanya sudah tiba masanya pemain muda di Liga Malaysia bersikap terbuka dan berani keluar dari negara untuk bermain di liga luar.

Bukan tidak ada pemain tempatan yang berhijrah ke luar negara tetapi hanya segelintir sahaja seperti Luqman Hakim, Hadi Fayyadh dan beberapa lagi pemain tidak ternama yang sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk karier bola sepak mereka.


Lihat saja dengan bintang muda Singapura, Ikhsan Fandi Ahmad yang kini menjadi fenomena di Liga 1 Thailand apabila beliau yang bermain untuk kelab BG Pathum United dan sudah banyak kali tersenarai dalam ‘Team of The Week’.

Baru sahaja beraksi tujuh perlawanan, beliau sudah pun menjaringkan enam gol dan satu bantuan gol dan perlawanan paling menjadi tumpuan adalah ketika menjaringkan empat gol untuk membantu pasukannya menang besar ke atas pasukan PT Prachuap dengan jaringan 7-2 semalam.

Penyerang berusia 22 tahun mengikut jejak langkah abangnya Irfan Fandi yang turut beraksi bersama BG Pathum di posisi pertahanan.

Gandingan dua beradik ini nyata melonjakkan nama kelab itu yang mana kini semakin ramai mula mengikuti perkembangan Ikhsan di Liga Thailand.

Mungkin pemain-pemain muda yang ada ketika ini sudah boleh memikirkan untuk melebarkan karier mereka di luar negara dan bukannya hanya sasar main di Liga Malaysia saja.

Tidak dapat dinafikan kebanyakan pemain muda tempatan enggan berhijrah ke luar negara kerana faktor gaji yang sedikit berbanding di Liga Malaysia.

Percaya atau tidak, bayaran gaji pemain bola sepak di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau Asia, sedangkan kualiti liga itu sendiri tak setaraf dengan gaji pemain.

Walaupun liga di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam tidak menawarkan gaji lumayan, namun mereka tetap berjaya lahirkan pemain-pemain tempatan yang cukup berkualiti sehingga menjadi rebutan banyak pasukan.

Pemain tempatan pula lebih mementingkan gaji lumayan dan “duduk di rumah” berbanding melebarkan sayap mereka ke peringkat tertinggi.

Jika ditanya pemain-pemain yang beraksi di peringkat belia, kebanyakannya memasang impian untuk bermain untuk kelab terkaya di Malaysia.

Tidak salah untuk memasang impian seperti itu, namun mereka sepatutnya berfikiran jauh bukan untuk diri sendiri sahaja tetapi untuk negara juga.