Kobe Jae Chong tidak sabar untuk mewakili Harimau Malaya

13,079

Pemain tengah Peterborough United yang lahir di Birmingham, England, Kobe Jae Chong, menyuarakan hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“Mewakili pasukan kebangsaan Malaysia ialah sesuatu yang saya memang mahu lakukan dan keluarga saya juga pasti akan bangga sekiranya saya dapat bermain untuk Malaysia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kobe, 20, yang berdarah kacukan Malaysia dan Jamaica, sebelum ini pernah dipanggil untuk mewakili pasukan kebangsaan B-19 pada tahun 2019 tetapi beliau terpaksa menarik diri ekoran wabak COVID-19 yang ketika itu melanda seluruh dunia.


Walaupun tidak pernah mewakili Malaysia, beliau mengikuti rapat perkembangan bola sepak di Malaysia.

Ketika ditanya pemain Malaysia manakah yang ingin beliau bermain bersama, dia menyatakan bahawa dia teringin untuk berganding bersama Nathaniel Shio Hong Wan, pemain yang bermain di posisi tengah bersama JDT.

Kedua-dua mereka berasal daripada England dan Kobe juga bermain di posisi tengah seperti Hong. Agak menarik sekiranya kedua-dua pemain ini mendapat peluang untuk bermain bersama di dalam padang.

Bukan itu sahaja, Kobe juga tidak menolak peluang untuk menyertai kelab Liga Super Malaysia seperti JDT dan Sri Pahang FC di masa akan datang apabila disoal tentang kelab yang mahu disertai di Malaysia.

“Ketika ini saya masih di bawah kontrak bersama Peterborough United tapi saya memang mengikuti perkembangan kelab-kelab di Malaysia terutamanya JDT dan Sri Pahang. Kita tak tahu apa yang akan terjadi di masa datang,”

Yang pasti, Kobe memang tertunggu-tunggu untuk bermain untuk Malaysia dan berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mempertimbangkan dirinya untuk kejohanan-kejohanan yang akan datang.