XOX sah jadi pemilik baru Perak FC

8,439

Selepas beberapa bulan bergelut dengan isu tunggakan gaji dan juga pengambilalihan pasukan, Perak FC akhirnya sah akan mendapat pemilik baru pada hari ini iaitu XOX Berhad.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Media & Communication Sdn Bhd (IMC), Muhammad Yunus Zakariah.


“Ya sudah sah syarikat XOX adalah pemilik baru Perak FC. Satu majlis menandatangani MoU akan berlangsung pada hari ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Ia adalah satu berita gembira buat pemain dan pegawai pasukan serta penyokong kerana XOX merupakan salah satu syarikat telekomunikasi terbesar dalam negara.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2005, XOX boleh dikatakan antara syarikat aktif dalam menjalin kerjasama atau penajaan.

Pada tahun 2015 XOX telah menaja Piala FA; melantik bekas pemain badminton No.1 Dunia Dato’ Wira Lee Chong Wei sebagai duta pada tahun 2016; menjalin kerjasama dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) juga pada tahun 2016.

Selain itu, XOX juga menaja Malaysian Cub Prix dari tahun 2017 hingga 2019 sebelum mereka menjalin kerjasama dengan ONEXOX TKKR SAG Team pada tahun 2019 iaitu sebuah pasukan motosikal.

Terdahulu, badan bebas ‘First Instance Body’ (FIB) telah memberi talian hayat kepada skuad The Bos Gaurus selepas mereka gagal melunaskan tunggakan gaji sehingga menyebabkan mereka dipotong mata.

Nantikan temubual eksklusif bersama CEO IMC, Yunus Zakariah petang nanti bagi berkongsi mengenai berita gembira itu.