Perak FC akan bawa masuk 13 pemain baru pada jendela perpindahan kedua

42,756

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi telah mendedahkan bahawa mereka akan membawa masuk sebanyak 13 pemain baru bagi memperkuatkan pasukan untuk baki saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut Abdul Azim, beliau sudah pun menerima senarai 13 pemain tersebut daripada ketua jurulatih Yusri Che Lah bagaimanapun tidak dapat mendedahkan nama bakal pemain yang akan dibawa masuk.


“Kita ada 13 nama yang hendak didaftarkan yang mana kesemua nama ini diberikan oleh ketua jurulatih Yusri Che Lah dan InsyaAllah kita akan dapat daftarkan mereka pada jendela perpindahan kedua ini.

Bagaimanapun untuk nama pemain baru yang bakal dibawa masuk itu saya tidak dapat nak beritahu buat masa ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Antara tiga nama pemain bintang yang disahkan akan menyarung jersi The Bos Gaurus selepas ini adalah Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal dan Syamim Yahya.

Tambahnya lagi, beliau berharap prestasi pasukan Perak akan meningkat naik selepas pemain baru dapat didaftarkan dan menyasarkan Perak untuk terus kekal dalam saingan Liga Perdana untuk musim hadapan.

Dalam pada itu, ditanya samada pihaknya akan membuat rombakan besar-besaran termasuk menyingkirkan Yunus Zakariah, Ahmad Shahrul Azhar dan beberapa nama lagi dalam pengurusan pasukan, Abdul Azim berkata pihaknya akan melakukan rombakan kerana beliau mahu Perak diuruskan secara korporat.

“Ketika ini dalam pengurusan Perak terdapat 11 pegawai dan ia satu jumlah yang banyak, jadi pihak saya akan bertemu dengan mereka untuk membincangkan posisi mereka dalam pasukan. Saya juga akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif yang baru.

Untuk kedudukan Shahrul Azhar dan beberapa lagi saya tidak boleh komen buat masa ini. Yang tu akan diumumkan kelak.”

Jelasnya lagi, memandangkan XOX Berhad merupakan sebuah syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham, maka mereka perlu pastikan anak syarikat iaitu Perak FC turut diurus secara korporat.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya telah bertemu dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang merupakan pemilik stadium.

Malah mereka juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang mana pihak XOX akan mengeluarkan bajet untuk mengubah suai sedikit stadium untuk keselesaan penyokong.

Sementara itu, beliau turut mendedahkan bahawa XOX dan State Secretary Incorporated (SSI) dalam perancangan untuk menubuhkan akademi bola sepak khas untuk anak-anak Perak.

“Kami mahu tubuhkan akademi bola sepak kerana merasakan anak-anak muda negeri ini mempunyai skil bola sepak dan jika dilihat pada pemain sekarang ini juga kebanyakan adalah pemain muda, jadi kita boleh develop dari bawah dan bawa mereka naik, jadi kita tidak lagi perlukan pemain import selepas ini.”

Untuk merealisasikan perancangan itu, mereka kini sedang mengkaji model akademi dari Eropah seperti Ajax Amsterdam dan Arsenal yang berjaya melahirkan ramai bakat tempatan yang cukup berkualiti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen