‘Feeder club’ sudah tak relevan untuk Liga Malaysia

669

Selepas empat tahun Liga Malaysia memperkenalkan ‘feeder club’ atau lebih dikenali sebagai pasukan kedua kepada pasukan utama yang bersaing di Liga Super Malaysia nampaknya seperti tidak memberi kesan atau perubahan langsung kepada kualiti liga.

Walaupun setiap pasukan yang bersaing di Liga Super dibenarkan untuk mempunyai ‘feeder club’, namun hanya beberapa buah pasukan sahaja yang mempunyai pasukan kedua iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Perak FC dan Selangor FC.


Sememangnya ‘feeder club’ berfungsi membantu pasukan dalam membuat pertukaran pemain sekiranya pemain utama mengalami kecederaan atau penggantungan, tetapi ia dilihat hanya memberi kelebihan pasukan yang mempunyai bajet besar sahaja.

Sumber foto: Johor Southern Tiger Facebook

Walaupun ada kebaikan, namun dengan adanya ‘feeder club’ ini sedikit sebanyak menjejaskan kualiti Liga Malaysia terutamanya di Liga Premier berikutan keempat-empat ‘feeder club’ ini tidak akan dinaikkan ke Liga Super walaupun menjuarai saingan Liga Premier. Ini menjadikan hanya lapan buah pasukan sahaja yang akan bersaing untuk merebut slot ke Liga Super pada saingan musim 2021.

Untuk musim 2022 pula, hanya tujuh buah pasukan dan tiga ‘feeder club’ sahaja yang akan bersaing di Liga Premier.

Bagaimanapun masalah kualiti permainan akan terjejas sekiranya kesemua pasukan teratas Liga Premier adalah daripada ‘feeder club’ dan ini bermakna pasukan yang tidak beraksi dengan baik akan dinaikkan ke Liga Super.

Secara tidak langsung ia bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan dari Liga Premier yang pasti akan menghadapi musim yang amat sukar, tetapi juga memberi kesan kepada pasukan yang bermain di Liga Super berikutan bertemu dengan pasukan tidak menepati standard Liga Super.

Sumber foto: Perak FC Facebook

Manakala sekiranya pasukan Liga Super yang mempunyai ‘feeder club’ tersingkir ke Liga Premier, pasukan ‘feeder club’ itu secara automatik akan turun ke Liga M3 walaupun beraksi cemerlang di Liga Premier dan ia sudah terjadi kepada Perak FC pada musim 2021.

Realitinya Liga Malaysia sebenarnya masih lagi belum bersedia dengan konsep ‘feeder club’ ini kerana boleh dikatakan kebanyakan pasukan yang bersaing di Liga Malaysia ini ‘cukup-cukup’ makan sahaja.

Sumber foto: TFC 2 Facebook

Tambahan, ‘feeder club’ ini hanya melahirkan sedikit sahaja pemain muda berkualiti sebaliknya hanya dijadikan tempat untuk menyimpan pemain yang akan dipanggil untuk menyertai skuad utama ketika ketiadaan pemain utama.

Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) benar-benar mahu majukan Liga Malaysia, kembalikan semula saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang sudah lama menjadi lubuk buat setiap pasukan mendapatkan pemain muda berkualiti.