23 pemain yang dijangka akan dipilih oleh Kim Pan-gon untuk Kelayakan Piala Asia 2023

32,935

Semalam telah berlangsung perlawanan kedua persahabatan Antarabangsa Tier 1 membabitkan pasukan Malaysia menentang Hong Kong yang mana skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menang 2-0.

Kemenangan kedua selepas membenam Brunei 4-0 sebelum ini nyata telah menaikkan moral setiap pemain yang akan beraksi pada saingan Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung bermula 8 hingga 14 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).


Bagaimanapun penyokong Harimau Malaya kini sudah mula tertanya-tanya siapakah 23 daripada 29 pemain yang akan dipilih oleh pengendali dari Korea Selatan itu.

Berdasarkan prestasi pasukan kebangsaan pada perlawanan kedua lalu, rasanya ramai yang sudah dapat menjangkakan nama-nama pemain yang akan meneruskan perjuangan skuad negara di Kelayakan Piala Asia 2023.

Sumber foto: FAM FB

Ketika ini sebanyak 29 pemain berada di kem latihan berpusat Harimau Malaya yang mana akan menyaksikan sebanyak enam pemain akan digugurkan oleh Pan-gon.

Antara nama pemain yang berkemungkinan akan digugurkan adalah Kalamullah Al-Hafiz, Dominic Tan, Norshahrul Idlan Talaha, Shahrul Nizam Ros Hasni, Kogileswaran Raj dan Mohamadou Sumareh.

Dalam senarai enam pemain ini hanya dua pemain sahaja yang diturunkan ketika aksi persahabatan iaitu Dominic dan Sumareh yang mana kemasukan kedua-dua pemain ini tidak memberikan impak langsung, manakala empat pemain lain langsung tidak mendapat peluang.

Antara 23 pemain yang berkemungkinan besar akan terpilih adalah, Farizal Marlias, Shahrul Saad, Corbin Ong, Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz, Safiq Rahim, Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Afiq Fazail, Guilherme de Paula, Darren Lok, Khuzaimi Piee, Syihan Hazmi, Faisal Halim, Khairulazhan Khalid, Syafiq Ahmad, Nor Azam Azih, Dion Cools, Junior Eldstal, Liridon Krasniqi dan V. Ruventhiran.

Dengan 23 pemain hanya 11 pemain yang akan dipilih dalam kesebelasan utama yang mana kebanyakan penyokong pasti sudah dapat menjangka kesebelasan utama berdasarkan senarai pemain yang dipilih.

Untuk posisi penjaga gol utama sudah semestinya penjaga gol dari Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Farizal Marlias akan menjadi pilihan kerana beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa tetapi juga commanding dalam padang yang sangat baik.

Sumber foto: FAM FB

Kedudukan penjaga gol kedua dan ketiga masih tidak dapat ditentukan kerana kedua-dua Khairulazhan dan Syihan mempunyai kelebihan masing-masing, bagaimanapun kedua-dua mereka antara penjaga gol terbaik di Liga Malaysia ketika ini.

Bagi pertahanan Pan-gon mempunyai tiga pemain ini yang sudah membuktikan mereka layak berada dalam kesebelasan utama iaitu Matthew Davies, Dion Cools dan Corbin Ong.

Davies dan Cools boleh bermain di dua posisi iaitu pertahanan kanan (RB) dan pertahanan tengah (CB) dengan baik sekali. Manakala untuk pertahanan kiri (LB) negara sudah semestinya Corbin Ong yang tidak mempunyai pencabar di posisi tersebut.

Tetapi jika Pan-gon ingin bermain dengan empat pertahanan, Shahrul Saad pasti akan menjadi pilihan utama.

Untuk posisi tengah pula nampaknya masih lagi samar pemain manakah yang akan menjadi pilihan kerana terdapat beberapa nama yang berkemungkinan besar mampu galas tanggungjawab sebagai pemain utama iaitu Azam Azih, Nazmi Faiz, Afiq Fazail dan Syamer Kutty Abba.

Tidak dapat dinafikan pemain seperti Safiq Rahim, Liridon Krasniqi juga merupakan pemain berkualiti tetapi dengan usia dan cara permainan, kedua-dua mereka ini sesuai dimasukkan sebagai pemain gantian.

Posisi sayap kita mempunyai ramai pemain berkualiti tetapi pemain seperti Arif Aiman wajib berada dalam kesebelasan utama di bahagian sayap kanan (RW). Safawi boleh dijadikan sebagai pilihan kedua untuk RW, bagaimanapun beliau juga boleh bermain di posisi menyerang tengah (AMF) yang mana beliau tampak lebih efisyen jika diberi free role di belakang penyerang.

Sumber foto: FAM FB

Akhyar Rashid perlu diletakkan sebagai sayap kiri (LW) utama kerana beliau mempunyai kebolehan untuk membawa bola dan menggelecek pemain pertahanan lawan sekaligus masuk ke dalam kotak penalti. Dengan skil yang ada beliau mempunyai peluang untuk mendapatkan set-piece.

Manakala Faisal Halim pula boleh dijadikan pilihan kedua kerana corak permainan Faisal dan Akhyar hampir sama yang mana kedua-dua ini berani untuk mara ke depan berseorangan jadi secara logiknya kedua-dua mereka boleh menjadi pemain utama dan gantian.

Sumareh pula boleh bermain di dua posisi iaitu RW dan LW tapi beliau adalah pilihan terakhir kerana prestasinya ketika ini tidak memberangsangkan.

Akhir sekali posisi penyerang yang mana sehingga kini negara masih lagi ketandusan penyerang prolifik. Untuk posisi ini Pan-gon patut kekalkan Darren Lok sebagai penyerang utama dengan Syafiq Ahmad sebagai penyerang back-up.

Bagaimanapun jika bermain dengan formasi dua penyerang, Syafiq boleh menjadi sebagai penyerang kedua/pemain tengah (AM) (link  antara penyerang dan dua pivot pemain tengah). Kelebihan Syafiq dalam posisi ini adalah kualiti yang ada padanya untuk membuat hantaran through ball pada penyerang serta rajin memberi tekanan kepada pemain lawan jika terlepas bola.

Manakala De Paula pula boleh menjadi penyerang back-up yang boleh dimasukkan sekiranya kedua-dua penyerang utama cedera.

Setuju atau tidak?