Saya tak menyesal wakili Malaysia, sanggup mati demi negara – Dion Cools

19,921

Pertahanan negara Dion Cools menyatakan bahawa beliau tidak berasa menyesal langsung apabila memilih untuk mewakili Malaysia, malah beliau sanggup mati demi negara.

Cools berkata demikian apabila beliau berjaya membantu skuad Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E.


“Saya tidak menyesal apabila pilih untuk mewakili Malaysia dan saya sanggup mati untuk negara,”

katanya.

Lebih manis lagi pada perlawanan tadi beliau menjaringkan gol pertamanya bersama skuad negara yang turut disaksikan oleh keluarganya yang turut hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Dalam pada itu, pemain kacukan Malaysia-Belgium yang dinobat sebagai Man of The Match berkata rakan sepasukannya juga sepatutnya diangkat sebagai bersama beliau kerana mereka memberikan aksi persembahan yang cukup mantap.

“Bagi saya semua pemain adalah Man of The Match kerana kami sebagai satu pasukan telah memberikan yang cukup terbaik. Ia satu perjalanan yang panjang buat kami.

Jadi kami boleh enjoy terlebih dahulu dengan kejayaan ini sebelum kembali fokus untuk misi yang seterusnya.”

Pada masa sama pemain berusia 26 tahun itu juga berkata pasukan negara sepatutnya dapat menjaringkan lebih banyak gol tetapi banyak peluang yang tidak dapat disempurnakan.

Cools juga berkata ia adalah satu pengalaman yang cukup berbeza apabila bermain untuk negara berbanding di kelab.

Terdahulu Malaysia membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-16 yang disempurnakan oleh Safawi Rasid, bagaimanapun tidak lama kemudian Bangladesh menyamakan kedudukan.

Pasukan negara kemudian telah meningkatkan intensiti dan berjaya menjaringkan pada minit ke-38.

Bermula separuh masa kedua Malaysia tidak tunggu lama untuk menjaringkan gol menerusi Syafiq Ahmad pada minit ke-47 sebelum Darren Lok melengkapkan kemenangan bergaya negara pada minit ke-73.