Atmosfera di sini sungguh menakjubkan dan jarang ditemui di Eropah – Pau Marti
Penolong jurulatih pasukan Malaysia, Pau Marti Vicente nyata teruja dan percaya sokongan padu dari peminat bola sepak tanah air merupakan salah satu faktor kebangkitan yang ditunjukkan oleh para pemain.
Kehadiran 52,964 penyokong nyata menyemarakkan semangat para pemain untuk memperagakan aksi terbaik untuk membenam pasukan Bangladesh dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.
“Atmosfera di sini sangat baik dan perkara ini sangat sukar ditemui di Eropah.
Terima kasih untuk sokongan ini, saya rasa kehadiran peminat setiap masa di Bukit Jalil sangat bagus dan saya berharap kita dapat membawa kejayaan lagi,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Meskipun tewas pada perlawanan kedua, penyokong pasukan kebangsaan tetap bersemangat hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pemain negara.
Pasukan negara melangkah ke perlawanan terakhir dengan motivasi yang tinggi dan semangat ini berjaya diterjemahkan di atas padang sehingga berjaya membenam pasukan Bangadesh dengan jaringan 4-1.
Pau Marti merupakan antara individu yang bertanggungjawab ke atas kejayaan pasukan negara layak ke Piala Asia 2023.
Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon telah menyenaraikan Pau Marti sebagai salah seorang pasukan kejurulatihan sejurus pelantikan beliau dilakukan.
Barisan kejurulatihan yang dibawa oleh pengendali dari Korea Selatan itu dilihat berjaya meningkatkan mutu dan motivasi para pemain negara.
“Saya berasa sangat gembira, untuk kumpulan pemain dan staf, kesemua mereka layak mendapat keputusan yang baik.
Saya dedikasikan kemenangan untuk semua orang di Malaysia, saya rasa mereka berhak untuk menikmati perkara ini.”
Lebih manis, kemenangan besar ini melayakkan pasukan negara untuk beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit setelah kali terakhir melakukannya pada tahun 1980.
Pau Marti mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang kejurulatihan.
Beliau sebelum ini pernah memikul tanggungjawab selaku penolong jurulatih B-18 Barcelona sebelum menyertai kem negara pada Februari tahun ini.
Selesai pusingan kelayakan, kepakaran Pau Marti dan barisan kejurulatihan yang lain akan terus ditagih bagi membantu Pan-gon membentuk skuad terbaik yang mampu memberi saingan pada pusingan akhir Piala Asia 2023.