Jangan ganggu kerja Pau Marti, Kim Hak-bum kan ada!

35,314

Rombakan besar-besaran akan dilakukan terhadap skuad Harimau Muda ekoran daripada kegagalan pasukan tersebut di kejohanan Piala Asia B-23 baru baru ini,

Ini dilihat sebagai sebuah langkah terbaik bagi memastikan segala permasalahan dapat diatasi dalam kadar segera.


Penolong jurulatih pasukan senior negara, Pau Marti Vicente disebut-sebut sebagai calon yang sesuai bagi menggantikan ketua jurulatih B-23 negara, Brad Maloney dari Australia.

Pau Marti mempunyai pengalaman yang luas dalam melatih pemain muda bersama skuad B-18 Barcelona di negara asalnya, Sepanyol sebelum ini.

Namun, pemilihannya sebagai calon pengganti dilihat sebagai kurang sesuai kerana beliau sedang memainkan peranan yang begitu penting selaku pembantu utama kepada ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon sejak Februari lalu.

Pau Marti merupakan antara orang yang bertanggungjawab membantu pasukan kejurulatihan negara merangka taktikal sehingga berjaya mara ke Piala Asia 2023.

Momentum ini perlu diteruskan dan sekiranya beliau ditarik ke skuad B-23, ia akan memberi impak yang besar dan menjejaskan rentak persiapan skuad negara.

Oleh itu, pihak pengurusan perlu lebih realistik dan mula mencari pengganti yang lebih sesuai.

Jurulatih berpengalaman dari Korea Selatan, Kim Hak-bum dilihat sebagai calon terbaik bagi menggantikan tempat Brad Maloney.

Sebelum lantikan Pan-gon dilakukan, Hak-bum turut dicanang sebagai pengganti kepada bekas jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.

Pengalaman Hak-bum mengendalikan pasukan muda Korea Selatan dilihat mampu menjadi antara faktor mengapa beliau layak memegang jawatan tersebut.

Pencapaian tertinggi beliau adalah membawa pasukan Olimpik Korea Selatan mara sehingga ke pusingan suku akhir temasya tersebut pada edisi 2020 sebelum tewas di tangan Mexico.

Ini adalah masa yang paling sesuai kerana jurulatih berusia 62 tahun itu masih belum terikat dengan mana-mana kelab dan proses pengambilan beliau akan menjadi sangat mudah.

Sekiranya perkara ini terjadi, filosofi bola sepak Korea Selatan akan dapat diserap masuk ke dalam kem negara hasil daripada gabungan kedua-dua jurulatih yang berasal dari negara yang sama.

Kerjasama di antara Pan-gon dan Hak-bum semestinya akan memberi banyak kelebihan dalam memastikan prestasi negara dapat terus dipertingkatkan bermula dari skuad muda.  

Bahasa dan kefahaman bola sepak yang sama akan membantu kedua-dua jurulatih untuk berganding bahu bagi merangka strategi terbaik yang boleh membantu dalam meningkatkan mutu persembahan kedua-dua pasukan, senior dan B-23.

Korea Selatan sering dikenali dengan reputasi jurulatih yang hebat terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Sebagai contoh, jurulatih Vietnam, Park Hang-seo serta jurulatih pasukan senior Indonesia, Shin Tae-yong yang turut bertanggungjawab melatih pasukan muda Garuda di kejohanan seperti Sukan SEA dan Piala AFF 2022 B-19 yang akan berlangsung pada Julai ini.

Kedua-dua individu ini memainkan peranan yang cukup hebat dalam memastikan kebangkitan prestasi oleh pasukan yang dilatih.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menganalisis semula kesemua elemen sebelum melakukan sebarang keputusan mengenai rombakan yang akan dilakukan.

Cabaran besar yang menanti pasukan B-23 selepas ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 yang akan diadakan di Paris.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen