Bojan Hodak ‘gembira’ Daniel Ting akhirnya ambil vaksin dan peroleh gaji tiga kali ganda di JDT

629

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak tumpang gembira buat bekas anak didiknya, Daniel Ting kerana akhirnya membuat keputusan untuk mengambil vaksin untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurut Bojan, beliau juga turut gembira kerana Ting bakal meraih gaji yang jauh lebih tinggi bersama Harimau Selatan dan mengakui KL City tidak mampu melawan tawaran gaji tersebut.


“Soal gaji adalah sesuatu yang kami tidak mampu bersaing dan saya tumpang gembira buatnya kerana bakal memperoleh gaji tiga kali ganda di sana.

Beliau telah menabur bakti bersama kelab kami sebelum ini dan saya ucapkan selamat maju jaya buatnya,”

katanya.

Ting secara rasminya menyertai JDT pada jendela perpindahan kedua baru-baru ini selepas kelab itu mengumumkan kedatangan pemain itu di media sosial Isnin lalu.

Dalam pada itu, mengenai perlawanan terakhir Kumpulan H Piala AFC 2022 menentang Tampines Rovers esok, Hodak berkata beliau hanya meletakkan sasaran untuk layak ke peringkat kalah mati sebagai naib juara terbaik kumpulan.

Beliau menjangkakan perlawanan menentang Tampines Rovers akan menjadi sukar memandangkan kelab itu mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan peringkat Asia.

“Apa yang penting adalah saya mahu menang pada perlawanan esok, dan kami ada peluang untuk pergi ke peringkat seterusnya sebagai naib juara terbaik.

Jika boleh jaringkan banyak gol sudah tentu bagus kerana setiap pasukan mahu menjuarai kumpulan tetapi sasaran utama kami adalah untuk menang dahulu.”

Hodak juga percaya pasukannya mempunyai kelebihan bermain di rumput sebenar berbanding pasukan lawan yang sudah biasa bermain di rumput tiruan.

KL City harus menamatkan perlawanan esok dengan perbezaan jaringan tiga gol bagi mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan sekaligus layak ke peringkat seterusnya.