Dengan sokongan padu, pemain wanita negara mampu gegar Eropah

1,371

Beberapa tahun kebelakangan ini bola sepak wanita semakin dipandang serius dan mula mendapat perhatian para peminat di seluruh dunia.

Boleh dikatakan semakin ramai yang mula menonton perlawanan bola sepak wanita dan pemain wanita kini juga sudah semakin popular sebaris dengan pemain lelaki.


Di Asia khususnya, bola sepak wanita turut memperlihatkan perkembangan dan ramai bakat dari benua ini juga berjaya menempa nama di kelab-kelab ternama Eropah.

Antara bintang bola sepak wanita Asia yang ketika ini ‘menggegar’ Eropah adalah pemain Korea Selatan, Ji So-yun yang bermain untuk Chelsea, pemain Jepun, Saki Kumagai (Bayern Munich) dan pemain China, Shen Mengyu (Celtic).

Selain itu dua pemain Australia, Sam Kerr dan Ellie Carpenter turut berkelana di Eropah, masing-masing bersama Chelsea dan Olympique Lyonnais.

Malaysia juga turut mempunyai beberapa pemain wanita yang mempunyai pengalaman bermain di Eropah seperti Berlin Leong yang beraksi di Sepanyol bersama CF Pozuelo dan Celine Chuang bersama kelab Jerman, FFC Wacker Munchen.

Penjaga gol kebangsaan, Azurin Mazlan yang meraih anugerah penjaga gol terbaik ketika bermain bermain di India bersama Misaka United awal tahun ini juga mempunyai potensi untuk ‘dipancing’ kelab-kelab Eropah.

Mungkin ketika ini nama mereka masih kecil jika dibandingkan dengan pemain-pemain Asia yang disebutkan di atas tetapi dengan usaha dan keazaman, tidak mustahil mereka mampu menjadi bintang di Eropah satu hari nanti.

Lagipun ketiga-tiga pemain itu masih muda dan mempunyai masa untuk meningkatkan lagi kualiti permainan mereka.

Azurin dan Berlin ketika sedang beraksi bersama skuad kebangsaan negara pada kejohanan Piala AFF Wanita di Filipina.

Setakat ini, Azurin menjadi pilihan ketua jurulatih, Jacob Joseph sebagai penjaga gol utama tetapi Berlin yang bermain di bahagian tengah masih tidak mendapat peluang untuk menunjukkan kebolehannya kerana sebab-sebab tertentu.

Apa-apa pun, ketiga-tiga pemain ini mampu menjadi inspirasi buat pemain-pemain wanita lain seperti ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur untuk mengembangkan karier mereka di kelab yang lebih besar di luar negara.

Dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi diharapkan ada pemain-pemain dari Malaysia yang mampu mencipta nama di Eropah seperti nama-nama besar di atas.

Apa yang penting adalah sokongan padu daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada arena bola sepak wanita tempatan untuk melihat para pemain pergi lebih jauh.