PBDLMS akan terus bantu FAM untuk pembangunan akar umbi bola sepak wanita
Pengasas Persatuan Bola Sepak Daerah Larut, Matang dan Selama (Baru) (PBDLMS), Ahmad Feisal Bin Dato’ Seri Mohamed Zulkefli berkata pihaknya akan terus membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam pembangunan akar umbi bola sepak wanita.
Menurut Ahmad Feisal, PBDLMS mula memberi tumpuan kepada bola sepak wanita sejak 2019 secara skala kecil untuk melihat samada ia mampu berjaya atau tidak.
“Penglibatan kami dalam bola sepak wanita bermula sejak tahun 2019 yang mana kami bermula dengan skala kecil dengan mengambil pemain-pemain muda dan gabungkan mereka untuk berada di bawah PBDLMS.
Kami kemudian mengatur banyak perlawanan dengan tujuan sebagai pendedahan buat mereka. Saya yakin jika bola sepak wanita ini dibuat dengan baik ia akan menjadi lebih besar,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Ahmed Feisal turut berbangga apabila PBDLMS telah dipilih oleh FAM untuk menjadi hos bagi saingan Liga Wanita Nasional 2022 bagi Zon Utara yang mana ia akan disertai oleh tujuh pasukan.
Tujuh pasukan yang bersaing dalam Zon Utara adalah PBDLMS MR8 Tigress, Pulau Pinang, Kelantan, Real CJ FC, Perlis United FC, Penang City FC dan UUM FC.
“Saingan Liga Nasional Wanita adalah satu inisiatif yang cukup baik untuk perkembangan bola sepak wanita kerana ia memberi minit permainan kepada pemain. Sebelum ini mereka hanya bersaing dalam kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah atau bermain futsal ‘haram’ saja.
Bagi saya Liga Nasional Wanita ini memberi satu pengalaman yang cukup bagus dan saya seronok melihat pasukan-pasukan ini beraksi kerana kita dapat melihat ramai bakat-bakat baru yang boleh dijadikan ‘ubi’ buat skuad kebangsaan.
Kami di Taiping ni nak beritahu PBDLMS boleh bantu FAM diperingkat akar umbi.”
Beliau berkata walaupun mereka hanya persatuan bola sepak daerah, dengan bantuan dari semua pihak mereka akhirnya berjaya menganjurkan liga dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berkata selain memberi fokus pada bola sepak wanita, pihaknya juga menjadikan platform Liga Wanita Nasional untuk melatih pengadil-pengadil yang berkelayakan FAM belajar dalam saingan liga ini.
“Kita buat saingan liga ini sebagai pentas buat pengadil-pengadil ini untuk dapat pendedahan kerana jika mereka tidak bermula dari bawah, bagaimana mereka hendak naik ke peringkat tertinggi.”
Ahmed Feisal berkata ramai wanita yang mempunyai minat dalam sukan bola sepak tetapi perjalanan mereka masih lagi panjang, oleh itu satu jalan penyelesaian untuk mengurangkan jurang antara pemain baru dan yang sudah boleh bermain perlu diwujudkan.
Untuk mengurangkan jurang tersebut, pihak FAM perlu perbanyakkan lagi pertandingan bola sepak kerana sebelum wujudnya Liga Wanita Nasional, mereka hanya ada Piala Tun Sharifah Rodziah sahaja.
Oleh itu, beliau berkata pihaknya akan cuba memberi cadangan kepada FAM supaya menganjurkan dua atau tiga saingan liga bola sepak wanita dalam tempoh setahun, selain kejohanan piala supaya pemain mendapat minit permainan yang cukup dan kompetitif.
Jika ia berjaya direalisasikan, Malaysia akan mempunyai ramai pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Ahmed Feisal turut meluahkan rasa kecewanya apabila saingan Liga Wanita Nasional tidak mendapat publisiti dari media arus perdana.
“Kita agak kecewa apabila tiada langsung publisiti mengenai Liga Wanita Nasional. Bayangkan jika ada media arus perdana buat liputan, ia pasti akan memberi impak besar. Dari liputan media arus itu juga secara tidak langsung dapat bantu pasukan untuk cari penaja.
Buat masa ini pendedahan mengenai saingan liga wanita hanya dibuat di media sosial sahaja, jadi impaknya tidak sebesar media arus perdana.”
Akhir sekali, Ahmed Feisal berharap agar bola sepak wanita akan terus mendapat liputan meluas supaya ia dapat berkembang sekaligus dapat menaikkan nilai komersial liga bola sepak wanita.