Konspirasi selamatkan kelab besar tak benar – Stuart Ramalingam

1,035

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam menyangkal dakwaan segelintir peminat kononnya penstrukturan Liga Malaysia yang akan dilakukan pada musim hadapan adalah untuk menyelamatkan kelab besar.

“Apa yang saya boleh cakap tiada konspirasi teori dengan penstrukturan liga ini. Penstrukturan liga ini dibuat dari sudut peminat generasi baru yang mahukan perubahan.

Perubahan ini perlu dilakukan mengikut arus semasa yang mana menyaksikan peminat generasi kini mempunyai tabiat atau budaya yang berbeza untuk consume kandungan. Sekarang ini peminat tak perlu lagi ke stadium, sebaliknya mereka boleh tonton perlawanan bola sepak di rumah sendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Stuart, bola sepak perlu kekal kompetitif untuk menarik perhatian peminat sekaligus dapat menarik pihak penyiaran dan juga penaja.


Beliau juga berkata pihak MFL sentiasa bersikap terbuka terhadap segala kritikan terutamanya daripada peminat lama.

“Saya terbuka dengan kritikan daripada peminat lama kerana mereka ini mempunyai pengalaman mengenai naik turun pasukan yang disokong, manakala peminat generasi muda pula tidak tahu sejarah bola sepak naik turun ini, jadi dengan apa yang dikongsi oleh penyokong kita perlu terbuka.

Kita perlu lihat apa yang mereka ingin sampaikan melalui mesej itu samada mereka risau dengan kelangsungan pasukan dari segi kewangan, kerisauan pertambahan perlawanan dan lain-lain yang kita sudah boleh jangka. Oleh itu saya terima pandangan daripada kedua-dua pihak sebagai informasi yang diperlukan pihak MFL, tetapi itu tidak bermakna ada betul atau salah.”

Dalam pada itu, Stuart juga menjelaskan bahawa sebelum keputusan untuk melakukan penstrukturan liga ini dibuat, pihaknya sudah pun membuat kajian termasuk merujuk kepada banyak pihak termasuk agensi dari antarabangsa bagi mendapat maklumat dan idea bagaimana mereka boleh menstrukturkan Liga Malaysia mengikut acuan sendiri.

Malah, pihaknya turut telah bertemu dengan setiap CEO kelab bola sepak bagi mendapatkan pandangan, sokongan dan kebimbangan pasukan.

“Kita tahu bola sepak Malaysia ini terbentuk daripada beberapa struktur kelab, ada kelab besar, ada kelab kecil, ada kelab sederhana. Setiap kelab mempunyai objektif yang berlainan seperti ada yang mahu mendominasi liga tempatan, ada yang mahu takluk Asia atau baru hendak bentuk semula.

Dengan semua rumusan tersebut, pada hari Rabu lalu satu mesyuarat rakan kongsi luar biasa telah diadakan untuk penstrukturan ini diketengahkan pada mesyuarat dan diluluskan.”

Sementara itu, Stuart mengakui dengan penambahan jumlah perlawanan kelak, prestasi pengadil akan terus menjadi perhatian ramai, oleh itu pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan akan melakukan pembaharuan untuk meningkatkan kualiti pengadilan.

“Mengenai pengadil saya serahkan kepada FAM kerana ia dibawah bidang mereka. Tetapi apa yang saya boleh katakan pihak MFL dan FAM sudah melakukan perbincangan terbuka untuk menaik taraf pengadil.

Apa yang saya boleh cakap di sini pembaharuan mungkin akan berlaku. FAM memang ambil perhatian terhadap perkara ini.”

Stuart berkata pihak FAM juga kini sedang giat melaksanakan kursus pengadil di peringkat zon bagi menjamin kualiti pengadilan pada musim hadapan.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan bahawa pihak MFL dan FAM akan terus bekerjasama bagi memastikan kualiti pengadilan sentiasa terjamin dan dipertingkatkan.