Selamat kembali Luciano Figueroa?
Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila ketua jurulatih, Benjamin Mora kini dikhabarkan akan dilepaskan.
Walaupun tiada butiran lanjut mengenai khabar angin tersebut, namun ketiadaan Mora dalam dua perlawanan baru-baru ini telah mencetuskan tanda tanya besar di kalangan peminat JDT.
Ada yang mengatakan ketiadaannya bersama pasukan adalah kerana Mora ke Jepun untuk ‘merisik’ bakal lawan mereka, Urawa Red Diamonds, dalam saingan kalah mati saingan AFC Champions League (ACL) bulan depan.
Malah ada juga mengatakan jurulatih berasal dari Mexico ini akan meninggalkan kelab itu kerana perihal peribadi.
Berikutan itu, terdapat beberapa nama yang mula menjadi sebutan bakal menggantikan Mora jika khabar angin tersebut adalah benar.
Ramai yang mengaitkan nama bekas ketua jurulatih negara Tan Cheng Hoe, Bojan Hodak dan beberapa lagi, namun semuanya tampak hanya sekadar melontarkan nama sahaja.
Tetapi ada satu nama yang mungkin ramai terlepas iaitu bekas pengurus JDT, Luciano Figueroa.
Nama beliau juga dikatakan mula disebut-sebut bakal kembali menyertai skuad Harimau Selatan.
Sebelum ini Figueroa pernah menabur bakti bersama gergasi selatan itu selama enam tahun iaitu empat tahun sebagai pemain dan dua tahun sebagai pengurus pasukan.
Sepanjang kariernya bersama JDT, beliau telah membantu pasukan itu meraih pelbagai kejayaan termasuk menjulang trofi Piala AFC.
Adakah ada kemungkinan besar pengurus dari Argentina itu akan kembali? Sama-sama kita tunggu kerana bagi peminat JDT semua sudah maklum bahawa pasukan kesayangan mereka sering melakukan kejutan dan tukar apa yang dirancang dalam sekelip mata sahaja – demi kebaikan, kepentingan dan pelan jangka panjang kelab.
Luaskan Kuasamu Johor!