Pelabur Malaysia labur RM680 juta beli saham kelab Portugal, FC Vizela

3,088

Ramai ahli perniagaan tempatan yang melebarkan perniagaan dalam arena bola sepak antarabangsa dengan membeli kelab-kelab di luar negara.

Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dikenali ramai sebagai pemilik Cardiff City, FK Sarajevo dan KV Kortrijk, manakala Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pula merupakan pemilik Queens Park Rangers.


Sebelum ini, jutawan tempatan, Datuk Dr Noordin Ahmad juga pernah membeli Bari FC 1908 yang bermain di Serie B Itali.

Kini, sebuah kelab yang bermain di Primeira Liga Portugal, FC Vizela dimiliki oleh pelabur dari Malaysia selepas proses penjualan saham selesai baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, pemegang saham kelab bersetuju untuk membenarkan penjualan lebih daripada 29 peratus saham kelab kepada pelabur dari Malaysia yang tidak diberitahu identitinya.

Presiden kelab, Eduardo Guimaraes berkata, pelabur tersebut mahu Vizela bersaing untuk menamatkan saingan di tangga sembilan teratas.

Musim lalu, kelab itu menamatkan saingan di tangga ke-14 liga, dua tangga daripada zon penyingkiran.

Tambah Guimaraes, kelab akan menerima €150 juta (RM680 juta) daripada pelabur baru tersebut.

Dengan pembelian saham itu, semakin banyak kelab-kelab di Eropah kini mempunyai kaitan dengan Malaysia.

Mungkin satu hari nanti ia boleh membuka peluang buat pemain serta jurulatih tempatan untuk mengembangkan karier mereka di Eropah seperti Luqman Hakim di KV Kortrijk.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen