Kontrak bakal tamat November ini, Bergson terlalu bagus untuk dilepaskan JDT

1,519

Kejayaan melakar hatrik ketika menentang Melaka United FC semalam menjadikan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva kini memimpin carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 20 gol.

Dengan berbaki tujuh perlawanan lagi, beliau dilihat tidak mempunyai kesukaran untuk mencatat rekod sebagai penjaring terbanyak Liga Super dalam semusim yang kini dipegang oleh bekas pemain Selangor FC, Ifedayo Olusegun dengan 26 gol.


Di sebalik prestasi cemerlangnya itu, timbul persoalan mengenai masa depannya bersama JDT kerana kontraknya hanya berbaki hingga 30 November depan.

Bergson ketika ini berusia 31 tahun dan berdasarkan prestasinya musim ini, mungkin mampu beraksi di peringkat tertinggi untuk dua atau tiga tahun lagi.

Sekiranya JDT tidak melanjutkan kontrak pemain itu, ia adalah sesuatu perkara yang mengejutkan kerana beliau boleh dianggap sebagai penyerang terbaik kelab berdasarkan rekod.

Dalam tempoh kurang dua tahun, beliau telah menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT dengan 51 gol, mengatasi Gonzalo Cabrera dengan 44 gol.

Apa yang lebih mengagumkan adalah, beliau berjaya mencatat rekod tersebut dalam 48 perlawanan sahaja.

Walaupun JDT sudah biasa menggantikan pemain mereka dengan pemain yang sama hebat atau lebih hebat, seperti Cabrera, Luciano Figueroa dan ramai lagi, namun pemain dengan kualiti seperti Bergson boleh dikatakan amat sukar untuk ditemui.

Tambahan pula, beliau dilihat sudah menunjukkan persefahaman yang baik bersama Fernando Forestieri walaupun tidak sampai semusim bersama.

JDT difahamkan akan memperkuatkan lagi pasukan untuk saingan AFC Champions League (ACL) musim depan selepas tewas 5-0 kepada Urawa Red Diamonds.

Mungkin beberapa pemain akan diganti bagi memastikan kelab mampu bersaing dengan gergasi-gergasi Asia, namun Bergson adalah pemain yang dilihat mampu terus membawa cabaran JDT dalam saingan itu musim depan.

Walaupun gagal menjaringkan gol pada perlawanan baru-baru ini, kesalahan tidak boleh diletakkan di bahunya kerana beliau tidak mendapat banyak bantuan pada perlawanan itu.

Tetapi, sekiranya JDT membuat keputusan tidak menyambung kontrak Bergson, sudah tentu mereka akan membawa masuk pemain yang lebih baik daripada beliau.