Nooa Laine, Jaami Qureshi mahu main untuk Malaysia kerana wang?

3,047

Selepas kejayaan skuad kebangsaan Malaysia di Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini, peminat bola sepak tanah air nyata teruja untuk terus melihat prestasi cemerlang skuad negara kejohanan King’s Cup Thailand pula bulan ini.

Kejohanan yang akan berlangsung di Mueang, Chiang Mai dari 22 hingga 25 September ini akan turut disertai pasukan dari negara Tajikistan, Trinidad & Tobago dan juga tuan rumah Thailand.


Dengan tarikh kejohanan semakin hampir, sudah pasti ramai yang tidak sabar untuk menanti senarai pemain-pemain yang akan dipanggil untuk menjalani kem latihan berpusat negara kendalian ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Pan-gon dalam kenyataannya baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau akan memperkenalkan beberapa pemain baru dalam skuad Harimau Malaya untuk kejohanan tersebut, namun beberapa hari kebelakangan ini timbul pula cerita tidak enak berkaitan dengan pemain kacukan negara.

Pemain kacukan Finland-Malaysia iaitu Nooa Laine dikatakan tidak akan menyertai skuad negara kerana didakwa namanya telah digugurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan perkara itu kini sedang menjadi topik hangat di media sosial.

Satu lagi cerita kurang enak membabitkan pemain kacukan lain yang sebelum ini dikatakan akan menyarung jersi kebangsaan turut tidak akan disenaraikan kerana didakwa meletakkan syarat tidak masuk akal seperti jumlah bayaran yang tinggi untuk bermain bersama skuad negara.

Walaupun tidak menamakan pemain tersebut, namun rata-rata peminat sudah dapat menjangkakan siapa pemain tersebut, namun tidak dapat menamakannya kerana tiada pengesahan mengenai perkara itu buat masa ini.

Diharap kedua-dua perkara itu tidak benar dan jika benar, ia sangat tidak bagus untuk kem negara kerana pemain kacukan lain patut mengikut contoh pemain kacukan Harimau Malaya ketika ini seperti Dion Cools, Corbin Ong, Darren Lok, Matt Davies, Brendan Gan dan Junior Eldstal yang bermain demi lencana di dada.

Malah Cools ketika sidang media selepas berjaya bantu skuad negara layak ke Piala Asia 2023 telah memberitahu bahawa beliau sanggup mati demi negara. Ia adalah satu contoh terbaik buat pemain negara lain tidak kira kacukan atau tidak.

Dalam pada itu, senarai pemain yang akan dipanggil Pan-gon untuk menjalani latihan berpusat akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung FAM, Noor Azman ketika dihubungi oleh Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tarikh pengumuman itu akan dibuat, tetapi dalam sidang media FAM baru-baru ini telah menyatakan latihan berpusat akan bermula pada Jumaat ini iaitu pada 16 September, jadi dijangka Pan-gon akan membuat pengumuman senarai pemain dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.

Apakah akan ada sedikit kejutan mengenai nama pemain yang dipanggil nanti? Pan-gon dan barisan kejurulatihannya sebelum ini kerap dilihat hadir bukan sahaja di perlawanan Liga Super sahaja, tetapi juga Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia.

Diharap pemilihan pemain kali ini tidak akan mencetuskan pertikaian seperti yang berlaku sebelum ini kerana setelah lebih enam bulan bersama skuad negara, beliau pasti sudah dapat mengenal pasti pemain yang terbaik untuk menyarung jersi negara.

Sama-sama kita tunggu!