Impian Nurshamil Ghani sarung jersi Harimau Malaya akhirnya tercapai

4,790

Impian penyerang berbisa Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani untuk menyarung jersi Harimau Malaya akhirnya tercapai juga apabila beliau mendapat panggilan daripada ketua jurulatih pasukan kebangsaan kendalian Kim Pan-gon.

Nurshamil akan mula menjalani latihan berpusat skuad negara pada 16 Julai ini untuk persiapan bagi menghadapi kejohanan King’s Cup Thailand yang akan berlangsung pada 22 hingga 25 September ini di Chiang Mai, Thailand.


Walaupun pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat pengumuman rasmi mengenai tambahan pemain, namun perkara itu telah didedahkan oleh rakan sepasukan Nurshamil sendiri yang juga bekas pemain kebangsaan iaitu Khairul Helmi Johari di laman sosial Instagram miliknya.

Nurshamil juga akan menjadi satu-satunya pemain dari Liga Perdana yang dipanggil untuk memperkuat skuad negara dan ia memperlihatkan satu keputusan yang cukup positif daripadan barisan kejurulatihan yang memilih pemain berdasarkan prestasi semasa.

Ia juga telah membuktikan di Liga Super ketandusan penyerang tempatan sekaligus tidak memberikan Pan-gon banyak pilihan.

Pemilihan Nurshamil juga bukanlah pemilihan tangkap muat, sebaliknya dibuat berdasarkan prestasi kerana ketika ini Nurshamil merupakan antara salah seorang penjaring terbanyak di Liga Perdana dengan lapan jaringan.

Jadi ketajaman pemain berusia 26 tahun itu dihadapan gol sangat ditagih untuk memastikan skuad negara mampu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.

Dalam pada itu, kemasukan Nurshamil mungkin bagi menggantikan dua pemain KL City FC yang dipanggil sebelum ini iaitu Zhafril Yahya dan Declan Lambert di mana kedua-dua pemain itu tidak mendapat pelepasan berikutan perlu mempersiapkan pasukan untuk perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC.

Terdahulu ketika temubual eksklusif bersama Harimau Malaya, Nurshamil mengakui beliau sentiasa menunggu dan bersedia sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Sebagai seorang pemain semua pasti menunggu peluang untuk dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya. Walaupun saya bermain di Liga Perdana tetapi jika saya dipanggil InsyaAllah saya akan cuba beri impak kepada skuad negara,”

katanya.

Panggilan buat Nurshamil mungkin boleh dijadikan motivasi buat pemain di Liga Perdana yang lain untuk pamer aksi terbaik kerana mereka juga berpeluang untuk bermain untuk negara satu hari nanti.