Nurshamil Ghani sedia jadi penggempur utama Harimau Malaya

5,272

Penyerang sensasi Kelantan FC, Nurshamil Ghani mengakui dirinya sudah bersedia untuk jadi penggempur utama skuad Harimau Malaya sekiranya mendapat kepercayaan daripada ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Ini kerana ketika ini pasukan kebangsaan ketandusan penyerang prolifik sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan Nurshamil sentiasa menunggu peluang untuk dipanggil.


“Sebagai seorang pemain semua pasti menunggu peluang untuk dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya. Walaupun saya bermain di Liga Perdana tetapi jika saya dipanggil InsyaAllah saya akan cuba beri impak kepada skuad negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa penyerang berusia 27 tahun ini bukan sahaja mempunyai ketinggian dan bentuk tubuh sasa untuk seorang penyerang, tetapi beliau juga sangat tajam di hadapan gol.

Ia telah dibuktikan apabila pada musim lepas Nurshamil telah dinobat sebagai penjaring terbanyak bagi penyerang tempatan dengan sembilan gol.

Beliau dijangka mampu menjaringkan lebih banyak gol lagi pada musim ini apabila selepas enam perlawanan, Nurshamil sudah pun menjaringkan empat gol.

Tidak mahu mengambil kredit seorang diri, Nurshamil berkata kejayaannya menjaringkan gol adalah hasil kerjasama dengan rakan sepasukan dan juga jurulatih Rezal Zambery yang sentiasa memberi kepercayaan pada dirinya.

Sebelum ini beliau pernah bermain bersama pasukan Harimau Muda B yang mana pasukan itu bersaing di Liga Singapura.

Dalam pada itu, Nurshamil turut berterima kasih kepada pengendali terdahulu iaitu Marco Ragini yang banyak membantunya dalam menjadi seorang penyerang berbisa.

“Beliau banyak bantu saya ketika latihan. Walaupun beliau sangat tegas, tetapi ketegasannya itu telah membuahkan hasil apabila saya kini mampu jadi seorang penyerang berkualiti.”

Malaysia bakal mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Malaysia pada Jun depan.

Jika Nurshamil terus konsisten menjaringkan gol, tidak mustahil nama beliau akan dipanggil untuk sarung jersi Harimau Malaya kelak.