Penambahan kuota pemain import akan beri kesan kepada Harimau Malaya?

111

Bahang kejohanan berprestij Piala Asia B-23 2024 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar bakal melabuhkan tirainya buat pasukan kebangsaan Malaysia apabila esok mereka akan turun dalam aksi terakhir mereka menentang Kuwait sebelum pulang ke tanah air dek dua kekalahan awal yang telah menyaksikan skuad negara terpaksa pulang awal.

Dengan berakhirnya kempen skuad negara di Piala Asia, peminat kini sedang menanti sepak mula saingan Liga Super untuk musim 2024/25 yang akan membuka tirainya pada 10 Mei ini dengan aksi Perlawanan Sumbangsih, Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2024.


Perlawanan ayng juga merupakan perlawanan pertama Liga Super itu akan mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Selangor FC (naib juara Liga Super) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail (SSI).

Disebalik keterujaan peminat bola sepak tanah air dengan saingan musim baru, namun timbul juga kebimbangan daripada banyak pihak mengenai peraturan baru oleh pengelola liga Malaysian Football League (MFL) yang telah mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim ini.

Pecahan kuota pemain import adalah enam pemain import iaitu 4+1(Asia)+1(ASEAN) dibenarkan berada di atas padang termasuk seorang pemain import dibangku simpanan, berbanding sebelum ini hanya lima pemain import dibenarkan berada di atas padang dengan seorang pemain import dibangku simpanan.

MFL dalam satu kenyataan rasmi sebelum ini berkata biarpun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan mengumumkan peraturan pemain import tanpa had dalam pertandingan AFC, namun pihak mereka tidak akan mengikut jejak langkah tersebut.

Bagaimanapun penambahan kuota seorang lagi pemain import di atas padang telah menimbulkan kebimbangan ramai dengan tempiasnya kerana setiap perkara pasti ada baik buruknya.

Pros

Mampu naikkan nilai komersial Liga Super Malaysia

Semua kena akui bahawa nilai komersial Liga Super masih lagi rendah dan perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan setiap kelab yang bersaing kerana hanya menjana pendapatan sedikit sahaja dari hak penyiaran kerana pihak penyiaran tidak berani untuk melabur dalam jumlah yang besar dek bimbang tidak mampu mendapat pulangan keuntungan.

Dengan adanya pemain-pemain import berkualiti, ia sedikit sebanyak mampu membantu menaikkan nilai komersial Liga Super apabila kehadiran pemain import berkualiti dapat menarik peminat dari luar negara untuk menyaksikan liga tempatan. Contoh terbaik adalah kelab Al Nassr yang membawa masuk bintang dunia Cristiano Ronaldo yang terus memberi impak apabila seluruh dunia kini menyaksikan Saudi Pro League.

Kelab tempatan mampu bersaing di pentas ACL Elite & ACL2

Peminat sedia maklum bahawa terdapat jurang yang agak besar apabila mula beraksi di pentas Asia yang mana sukar untuk melihat kelab dari Malaysia pergi dengan lebih jauh lagi dalam kejohanan tertinggi AFC Champions League (kini dikenali sebagai ACL Elite).

JDT yang merupakan juara 10 kali berturut-turut Liga Super bergelut untuk melepasi peringkat kumpulan biarpun dibarisi pemain kebangsaan dan pemain import yang cukup berkualiti. Mungkin dengan penambahan kuota seorang pemain import baru ini mampu memperkuatkan pasukan apabila beraksi di pentas Asia.

Musim ini JDT akan beraksi dalam saingan ACL Elite, manakala Selangor pula akan beraksi dalam ACL 2 dan dengan penambahan kuota ini, ia dilihat mampu membantu kedua-dua pasukan ini untuk mara dengan lebih jauh lagi di pentas Asia dan ia secara tidak langsung dapat menyumbang mata untuk ranking negara.

Mampu bantu tingkatkan kualiti corak permainan pemain tempatan

Kehadiran pemain import sebenarnya mampu meningkatkan kualiti permainan sesebuah pasukan yang mana pemain-pemain tempatan juga akan mendapat manfaat apabila dapat belajar dengan pemain berkualiti sekaligus dapat tingkatkan mutu permainan mereka.

Cons

Pemain tempatan sukar nak tembus kesebelasan utama

Ia bukan isu yang baru kerana sudah lama berlaku selepas perubahan peraturan kuota pemain import daripada tiga kepada lima pemain import sebelum ini. Suka atau tidak, semua sedia maklum bahawa setiap kelab akan memanfaatkan kuota import yang dibenarkan bagi memastikan pasukan mereka mendapat keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Setiap tindakan pasti ada akibat dan impaknya sudah dapat kita lihat di mana semakin ramai pemain-pemain tempatan terutamanya di bahagian penting seperti serangan tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama apabila ketua jurulatih lebih memilih untuk meletakkan pemain import di posisi penyerang.

Bukan di posisi penyerang sahaja, posisi tengah dan barisan pertahanan turut menyaksikan ia didominasi pemain import sebagai tonggak pasukan.

Semakin ramai pemain tempatan hanya ‘panaskan’ bangku simpanan & tiada minit permainan

Negara kini mempunyai banyak akademi bola sepak daripada kerajaan dan juga swasta tetapi dengan situasi ketika ini semakin ramai pemain-pemain muda tempatan sukar untuk mendapat tempat dalam kelab kerana tiada ruang dan peluang buat mereka untuk mendapat minit permainan.

Untuk peringkat usia muda, mereka mempunyai peluang beraksi di Piala Belia, Piala Presiden dan Piala MFL, tetapi sukar untuk tembus ke skuad utama yang beraksi di Liga Super kerana perlu bersaing dengan pemain senior dan juga import sekaligus peluang untuk mereka tonjolkan kemampuan mereka semakin kecil.

Mampu jejaskan pasukan kebangsaan Harimau Malaya untuk jangka masa panjang

Mungkin ramai tidak sedar dengan apa yang berlaku ketika ini mampu memberi kesan kepada pasukan kebangsaan untuk jangka masa panjang. Lihat sahaja skuad senior negara yang beraksi di Piala Asia 2023 baru-baru ini yang mempunyai purata usia pemain yang agak berusia berbanding pasukan dari Asia Tenggara lain.

Tambahan pula, skuad negara ketika ini turut dibarisi oleh pemain warisan dan pemain naturalisasi berusia dan untuk jangka masa panjang, sukar untuk Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa jika tidak terus melahirkan ramai pemain muda berkualiti.

Prestasi skuad muda negara B-23 pada kempen Piala Asia B-23 2024 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar ketika ini juga mengecewakan apabila sudah tersingkir selepas tewas dua perlawanan biarpun masih mempunyai baki satu perlawanan menentang Kuwait esok.

Kita harapkan skuad muda negara dapat bawa pulang sekurang-kurangnya tiga mata sekaligus memperbaiki rekod pada aksi Piala Asia B-23 2022 yang mana kita pulang dengan tangan kosong berbanding pada Piala Asia B-23 2018 yang menyaksikan kita berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir selepas mengutip empat mata.

Apa yang membuatkan skuad negara pada tahun 2018 cukup berjaya? Ini kerana ketika ini rata-rata pemain dalam skuad mempunyai minit permainan yang cukup tinggi di Liga Super. Jadi tidak hairan apabila ada pihak yang mengatakan masa depan pemain muda akan malap dengan kehadiran enam pemain import.

Ini adalah beberapa pros dan cons daripada peraturan baru penambahan kuota pemain import dalam saingan Liga Super.

Setiap pihak mempunyai pandangan tersendiri dan ini adalah pandangan peribadi penulis mengenai isu ini. Kalau setuju okay, tak setuju pun okay saja.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen