Jika bersikap fikirkan diri sendiri sahaja dalam kejohanan berpasukan, sukar untuk pasukan menang – Soniia Cheah

83

Bekas pemain badminton perseorangan wanita No.1 negara, Soniia Cheah memberitahu untuk kejohanan berpasukan seperti Piala Thomas dan Piala Uber setiap pemain perlu ada semangat berpasukan sekiranya mahu mencipta kejayaan.

Ini kerana menurut Soniia, jika seseorang pemain hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja maka sukar untuk sesebuah pasukan itu untuk menang.


“Kejohanan individu dan berpasukan sangat berbeza, kalah atau menang tanggung sendiri tapi kalau untuk acara berpasukan mungkin dalam perlawanan itu anda boleh kalah tapi semangat anda tidak boleh kalah.

Itu adalah perkara yang cukup penting kerana untuk acara berpasukan amat penting setiap pemain perlu ada semangat berpasukan dan jika tiada semangat berpasukan kerana fikirkan diri sendiri sahaja pastinya sukar untuk pasukan menang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain semangat berpasukan, setiap pemain juga perlu mempunyai ‘bonding’ yang kuat di antara satu sama lain.

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pasukan Piala Uber Malaysia pada kali ini, Soniia mengakui pasukan pada edisi kali ini sedikit lemah.

“Secara keseluruhannya saya melihat pasukan kali ini sedikit lemah, tapi sekarang kita ada pasangan beregu wanita yang kuat dan untuk perseorangan wanita pula kita ada Goh Jin Wei.

Bagi saya bukan kita tiada peluang tapi kita perlu lihat prestasi mereka pada kejohanan itu nanti. Tekanan dalam acara berpasukan sangat berbeza.”

Beliau bagaimanapun tetap optimis dengan pasukan wanita negara kerana peluang untuk berjaya terbuka buat mereka.

Sementara itu, Soniia berkata tiada guna menyertai sebarang kejohanan sekiranya tidak meletak sebarang sasaran.

“Saya rasa tiada sesiapa yang menyertai kejohanan tidak mensasarkan keputusan positif, itu sudah pasti.

Kalau semua cakap pergi ke kejohanan untuk dapatkan pendedahan dan pengalaman, jadi tiada makna menyertai sesuatu kejohanan itu.”