Aksi menentang Kuwait peluang buat Malaysia untuk pastikan tak pulang dengan tangan kosong

114

Nampaknya harapan seluruh peminat bola sepak Malaysia untuk melihat pasukan kebangsaan B-23 negara menebus kekecewaan skuad senior Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia 2023 baru-baru ini tidak kesampaian apabila skuad ‘adik’ juga tersingkir awal daripada kejohanan Piala Asia B-23 2024 yang sedang berlangsung di Doha, Qatar.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan D bermula dengan langkah kiri apabila tewas kepada Uzbekistan 2-0 sebelum disahkan tersingkir awal selepas sekali lagi tewas 2-0 di tangan musuh tradisi Vietnam pada Sabtu lalu.


Biarpun sudah sah tersingkir, namun ia bukan alasan untuk skuad kendalian Juan Torres Garrido untuk tidak mempamerkan aksi terbaik mereka dalam aksi terakhir mereka menentang Kuwait malam ini.

Seperti skuad senior menamatkan kempen Piala Asia mereka dengan baik apabila berjaya mengikat gergasi Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir mereka, maka skuad muda negara juga perlu memastikan mereka menutup kempen mereka dengan positif.

Berdasarkan prestasi semasa pasukan Kuwait, mereka kini menduduki di tangga tercorot kumpulan dengan jumlah bolos yang cukup besar iaitu bolos lapan gol di mana skuad negara pula hanya bolos empat gol sahaja.

Lebih menarik lagi, statistik skuad negara dalam kedua-dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam boleh dikatakan seimbang, malah lebih baik tetapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila ketajaman di bahagian serangan lawan menjadi pemisah.

Oleh itu, jika kesemua pemain terus mempamerkan aksi berintensiti tinggi sepanjang tempoh 90 minit perlawanan, tidak mustahil untuk mereka mengutip tiga mata penuh sekaligus dapat mengubati sedikit kekecewaan mereka tersingkir awal sekaligus menutup peluang mereka untuk cuba melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris pada Julai depan.

Prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad negara ketika ini mendapat kritikan hebat daripada peminat bola sepak tanah air berikutan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini meletak sasaran untuk skuad B-23 sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir.

Dengan sasaran gagal dicapai, dijangka Hamidin akan tampil membuat kenyataan bagi merumuskan kempen skuad B-23 untuk kejohanan kali ini sama seperti beliau lakukan pada skuad senior sebelum ini.

Banyak juga pihak yang mahu FAM melakukan ‘post-mortem’ mengenai prestasi pasukan kebangsaan di Piala Asia yang mana laporan ‘post-mortem’ itu diharap akan didedahkan kepada umum.

Apa pun yang berlaku, diharap seluruh peminat bola tanah air akan mendoakan kejayaan pasukan kesayangan pada perlawanan malam nanti.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen