Malaysia masih punya tempoh hingga 2026 untuk menguasai Asia

108

Pasukan bola sepak kebangsaan menjadi sebutan peminat sejak dari awal Januari lalu apabila Malaysia tampil beraksi dalam kejohanan berprestij Piala Asia 2023 yang berlangsung di Doha, Qatar yang menyaksikan skuad negara tersingkir awal apabila hanya sekadar mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan peringkat Kumpulan.

Biarpun bukan keputusan yang positif, namun kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat pasukan gergasi dunia Korea Selatan dengan jaringan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan sedikit sebanyak memberikan kegembiraan kepada seluruh peminat bola sepak tanah air.


Harapan menggunung peminat kemudian beralih kepada skuad muda B-23 yang turun beraksi dalam Piala Asia B-23 2024 yang sedang berlangsung di Doha ketika ini yang mana peminat sekali lagi kecewa apabila skuad kendalian Juan Torres Garrido tewas dalam dua perlawanan peringkat kumpulan.

Skuad negara tewas 2-0 kepada Uzbekistan dan sekali lagi tewas 2-0 kepada musuh tradisi Vietnam sekaligus tersingkir awal dari kejohanan biarpun masih berbaki satu perlawanan lagi menentang Kuwait pada 23 April ini.

Walaupun sudah tersingkir tetapi diharap skuad negara dapat mempamerkan aksi cemerlang sekaligus cuba untuk mendapatkan tiga mata penuh apabila menentang Kuwait esok kerana pasukan itu mereka pasukan tercorot selepas tewas besar dalam dua perlawanan terdahulu.

Oleh itu, anak buah Juan Torres perlu ambil kesempatan ini untuk cuba menutup kempen Piala Asia mereka dengan keputusan positif seperti skuad ‘abang’ sebelum ini.

Dengan prestasi hambar yang dipamerkan oleh skuad negara, pastinya satu laporan ‘post-mortem’ perlu dilakukan bagi mengenal pasti apa yang berlaku sehingga menyumbang kepada apa yang berlaku di Doha, sekaligus memperbaikinya secepat yang mungkin.

Prestasi tidak baik yang dipamerkan skuad negara tidak bermakna pasukan bola sepak kebangsaan tersasar dari sasaran yang telah diletakkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Peta Hala Tuju atau Roadmap FAM yang diberi nama F:30.

Ini kerana berdasarkan Pelan Strategik 2, FAM meletakkan sasaran untuk skuad Harimau Malaya mula menguasai Asia iaitu Menguasai ASEAN dan menjadi Pencabar Asia.

Jadi apa yang boleh diperkatakan ketika ini adalah skuad negara masih berada di landasan tepat untuk menuju ke arah itu kerana Pelan Strategik 2 baru sahaja diaktifkan pada tahun 2023 dan tempoh yang diletakkan untuk mencapai sasaran itu adalah pada tahun 2026.

Oleh itu, FAM mempunyai tempoh kira-kira dua tahun lebih lagi untuk memastikan mereka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.

Ini kerana penting untuk skuad negara untuk mencapai sasaran tersebut kerana untuk tempoh 2027 hingga 2030, FAM akan mengaktifkan Pelan Strategik 3 mereka di mana dalam pelan tersebut sasaran FAM adalah untuk menguasai peringkat dunia iaitu Mencapai tahap Global dan Prestasi kuat di Asia.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan badan induk bola sepak negara ketika ini sedang terpalit dengan kontroversi surat layang yang tersebar baru-baru ini yang mendakwa berlakunya salah laku yang melibatkan individu-individu penting dalam FAM.

FAM telah pun tampil membuat kenyataan rasmi berhubung surat layang tersebut dan menafikan apa yang dinyatakan dalam surat layang tersebut.

Sementara itu, belum pun reda dengan kontroversi surat layang FAM sekali lagi terpalit dengan satu lagi kontroversi berhubung tiket Piala Dunia 2022 di mana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dikatakan telah memberikan sebanyak 250 keping tiket kepada FAM yang mana ia sepatutnya dijual kepada peminat tetapi perkara itu tidak berlaku.

Perkara itu disuarakan oleh seorang wartawan veteran dalam satu artikelnya bertajuk ‘FAM, who ‘stole’ our World Cup tickets?’.

Dalam artikel tersebut turut memberitahu usaha untuk mendapatkan penjelasan daripada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman berhubung perkara itu juga tidak mendapat respon sehingga kini.

Apa-apa pun sama-sama kita tunggu kenyataan rasmi daripada FAM.