Sudah tiba masanya Liga Premier (Liga M2) dikembalikan?
Tahun 2024 merupakan tahun kedua saingan Liga Premier dimansuhkan buat sementara waktu selepas pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) melakukan penstrukturan liga yang menyaksikan perancangan awal adalah sebanyak 18 pasukan akan bersaing dalam Liga Super.
Perancangan MFL bagaimanapun tidak menjadi kenyataan apabila hanya 14 pasukan sahaja yang beraksi dengan dua pasukan tidak diberikan Lesen Kebangsaan dek masalah kewangan, manakala dua lagi menarik diri.
Berikutan beberapa pasukan yang dinaikkan ke Liga Super menyebabkan MFL mengambil keputusan untuk mansuhkan sementara saingan Liga Premier yang akan ‘dihidupkan’ semula namun tiada tempoh diberikan bila ia akan kembali.
Difahamkan juga sekiranya saingan Liga Premier kembali, ia akan dijenamakan semula kepada Liga M2.
Ia satu keputusan yang rasional berdasarkan keadaan semasa Liga Malaysia yang tidak mempunyai banyak pasukan yang mampu bersaing, oleh itu keputusan untuk mansuhkan Liga Premier adalah keputusan tepat.
Bagaimanapun impak ketiadaan Liga Premier itu kini dapat dirasai apabila pemain profesional muda kini hanya mempunyai platform Piala MFL (Liga Simpanan B-23) untuk mendapatkan minit permainan.
Tidak dapat dinafikan, Piala MFL adalah platform yang terbaik untuk pemain-pemain muda, tapi ada yang berpendapat perlunya satu lagi divisyen untuk liga profesional iaitu Liga Premier yang bertindak sebagai divisyen dua selepas Liga Super.
Ketika ini terdapat jurang besar berikutan liga kedua selepas Liga Super adalah Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga A1 yang merupakan liga semi-profesional anjuran Amateur Football League (AFL).
Untuk musim ini sepatutnya juara Liga M3 musim lalu naik ke Liga Super tapi disebabkan tidak dapat menepati syarat kriteria ditetapkan MFL termasuk tidak mempunyai kewangan yang kukuh menyebabkan pasukan tersebut ambil keputusan untuk kekal bermain di liga sama untuk musim ini.
Sekiranya Liga Premier kembali, mungkin peralihan kelab dari liga semi-profesional ke liga profesional lebih mudah kerana standardnya lebih rendah berbanding Liga Super, oleh itu mereka mungkin tidak akan terbeban terutamanya dengan bajet pasukan.
Jika kelab besar yang beraksi di Liga Super seperti Kedah Darul Aman FC, KL City FC, Sabah FC dan beberapa lagi juga berdepan masalah kewangan, sudah pastinya kelab semi-profesional akan lebih ‘parah’.
Apa pun kita harapkan saingan liga musim ini akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah terutamanya masalah kewangan dan jika perkara ini berlaku, tidak mustahil untuk liga tempatan kembali berkembang positif seperti sebelum ini.