Ken Ilso Larsen berhasrat mahu kembali ke Liga Malaysia satu hari nanti

187

Bekas penyerang sensasi Ken Ilso Larsen tidak asing lagi dalam kalangan peminat Liga Super Malaysia terutamanya buat peminat Kedah Darul Aman FC (sebelum ini Kedah FA) pada tahun 2017 yang merupakan musim yang gemilang buat pasukan ini.

Pemain berasal dari Denmark itu tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri bersama Sang Kenari kerana dalam 25 penampilannya bersama pasukan itu telah menyaksikan beliau menjaringkan sebanyak 20 gol dan lapan bantuan gol.


Kedah yang ketika itu dikendalikan Tan Cheng Hoe telah menyaksikan mereka berjaya menjadi juara berganda iaitu menjulang Piala Sumbangsih (menewaskan Johor Darul Ta’zim) dan juara Piala FA (menewaskan Pahang FA).

Biarpun sudah bersara sebagai pemain bola sepak profesional, namun Ken Ilso masih lagi terlibat dalam dunia bola sepak apabila beliau kini menjadi pundit dalam rancangan bola sepak di negaranya.

Diberi gelaran sebagai King Ken oleh penyokong Hijau Kuning, beliau meluahkan hasratnya untuk kembali ke Liga Malaysia satu hari nanti.

“Ya saya memang ada perancangan untuk kembali ke Liga Malaysia satu hari nanti. Persoalannya kini adalah bila ia akan jadi kenyataan. Saya boleh sahaja ke Malaysia sekarang tapi saya tahu peraturan untuk saya jadi penolong jurulatih atau ketua jurulatih yang mana saya perlu ada lesen.

Tapi saya memang mahu kembali ke Liga Malaysia satu hari nanti untuk merasai semula atmosfera menakjubkan bukan untuk diri saya sahaja tetapi juga untuk keluarga saya yang mana saya kini sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak (seorang berusia setahun dan seorang lagi tiga tahun).

Saya sebagai bapa mahu mereka merasai pengalaman yang saya pernah rasainya seperti gaya hidup Malaysia dan makanan Malaysia serta sudah semestinya atmosfera bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, selepas mengharungi musim yang cemerlang bersama Kedah, beliau berhijrah ke pasukan Penang FC sebelum ke Adelaide United tapi nasib malang menimpanya apabila Federasi Bola Sepak Australia menggantungnya dua tahun dek positif ujian doping.

Susulan itu, beliau mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak dan menyambung pelajarannya.

Tapi Ken kembali dalam dunia bola sepak apabila mendapat tawaran daripada sebuah radio tempatan (Denmark).

“Ketika saya tidak lagi mahu terlibat dalam dunia bola sepak, sebuah radio penyiaran menghubungi saya untuk buat podcast tentang bola sepak dan saya bersetuju tapi ketika itu saya tidak pasti samada saya masih berminat dengan bola sepak atau tidak.

Namun lama kelamaan, minat saya terhadap bola sepak kembali. Mungkin saya penat bermain bola sepak sahaja tapi masih berminat dengan bola sepak secara umumnya.”

Sementara itu, biarpun sudah tujuh tahun meninggalkan Kedah tetapi beliau tetap terus mengenang zaman gemilangnya ketika bersama pasukan itu dengan berkongsi foto dan video ketika beraksi bersama Kedah.

Malah beliau juga sering membalas komen-komen daripada peminatnya di Malaysia.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen