Setiawangsa Rangers tuntut ilmu daripada QPR cara kelab komuniti jana pendapatan

341

Sebagai seorang anak muda, perjalanan presiden kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, Khushairi Aizad Jamalludin untuk menubuhkan kelab itu bukanlah mudah.

Beliau bermula dengan menubuhkan akademi bola sepak komuniti yang dikenali sebagai Akademi Bola Sepak AU5D sebelum berjumpa dengan pelbagai pihak bagi mengusulkan ideanya untuk menubuhkan sebuah kelab bola sepak komuniti yang ditubuhkan pada 2018.


Salah seorangnya adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad yang melihat idea baik itu seterusnya menjadikannya realiti selepas mempercayai visi yang mahu dibawa olehnya.

Kini setelah empat tahun beroperasi, Setiawangsa Rangers mempunyai seramai 150 pemain yang terdiri daripada skuad pembangunan seawal B-8 tahun sehinggalah skuad bola sepak dan futsal lelaki dan juga wanita.

Menurut Khushairi, pada bulan Oktober ini pula, kelab itu akan membuka akademi yang boleh disertai oleh orang ramai dan sedang dalam perancangan untuk mendapatkan sebuah padang yang boleh dijadikan sebagai ‘home’.

“Sebelum ini kita hanya lakukan pemilihan kemudian ambil pemain tersebut untuk main dalam kejohanan tertentu tetapi selepas ini kami akan buka kepada orang ramai.

Dalam masa yang sama kita hantar pemain-pemain ini dalam liga kompetitif seperti Liga Suparimau, Liga Bola Sepak Kuala Lumpur bagi lelaki dan wanita, di situlah platform mereka untuk mendapat pengalaman dalam kejohanan bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya, kelab itu juga telah berjaya mengeluarkan pemain-pemain yang berjaya mewakili pasukan Piala Belia mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC serta pemain wanita kebangsaan iaitu Intan Zainal Azhar.

Selain daripada itu, beliau juga akan terbang ke Amsterdam bulan ini bagi menyertai Cruyff Legacy Summit, sebelum ke London untuk bertemu pihak pengurusan Queens Park Rangers (QPR) bagi mempelajari cara mengkomersilkan dan menjana pendapatan sebuah kelab komuniti.

Katanya, pihaknya telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dua gelanggang futsal Cruyff Court di Kuala Lumpur, di mana dapat memberi manfaat kepada para pemain Setiawangsa Rangers.

Dalam pada itu, beliau berharap satu hari nanti kelab tersebut mampu bersaing dalam Liga Malaysia sambil mengukuhkan peringkat akar umbi.

“Mungkin kita boleh bermula dari peringkat Liga M3 kemudian jika ada rezeki hingga ke tahap Liga Super, tetapi apa yang kita perlu buat adalah konsisten di peringkat akar umbi.

Apabila kita ada program akademi bola sepak, akan sampai satu tahap di mana kita boleh membangun dengan lebih tinggi sehingga penaja yakin dengan apa yang kita lakukan.”

Menurutnya, sejak penubuhan Setiawangsa Rangers, beliau telah melakukan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan kelab itu dengan warga tempatan seperti Karnival Sukan Setiawangsa pada 2019.

Beliau juga berharap akan mendapat lebih banyak sokongan daripada agensi kerajaan, pihak NGO, persatuan penduduk, wakil rakyat dan juga ibu bapa untuk pergi lebih jauh.