Jadi pemain Malaysia pertama di Liga Futsal Thailand, Muhammad Firdaus Zulkefli mampu pacu kebangkitan futsal negara

457

Pemain futsal kebangsaan, Muhammad Firdaus Zulkefli mencipta sejarah dalam dunia futsal tempatan apabila menjadi pemain pertama dari Malaysia yang beraksi dalam saingan Liga Futsal Thailand, seperti yang dilaporkan Vocket FC.

Bekas pemain Pulau Pinang itu baru-baru ini telah diumumkan sebagai pemain National Telecom FC dengan nombor jersi 23.


Ketika ini saingan Liga Futsal Thailand sedang berehat kerana Piala Futsal AFC 2022 akan berlangsung di Kuwait bermula 27 September hingga 8 Oktober ini, di mana Thailand turut membuat penampilan pada kejohanan itu.

Jadi, Firdaus mungkin berpeluang membuat debut bersama pasukan itu apabila liga kembali bersambung dengan masih ada 13 perlawanan lagi.

Ini merupakan satu kebanggaan buat dirinya dan dunia futsal negara kerana tidak dinafikan tahap futsal di negara itu jauh lebih hebat daripada Malaysia.

Ini adalah satu peluang keemasan buat Firdaus mendapatkan pengalaman berharga dan meningkatkan tahap permainannya beraksi dalam saingan yang lebih kompetitif dan hebat.

Ia diharap bakal memberi manfaat buat pasukan futsal negara yang mempamerkan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan tahun ini.

Sebelum ini, seorang lagi pemain negara, Khairul Effendy Bahrin juga pernah melebarkan sayapnya ke luar negara untuk bermain bersama kelab Indonesia, SKN Kebumen.

Khairul Effendy yang lebih mesra disapa Ayon pernah menggegarkan arena futsal di sana apabila menjaringkan gol untuk pasukannya ketika perlawanan separuh akhir Liga Futsal Pro Indonesia berbaki 10 saat saingan bagi melayakkan kelab itu ke perlawanan akhir buat pertama kali.

Semoga Firdaus juga mampu membawa impak yang lebih besar di Thailand dan mencatat kejayaan peribadi dan juga bersama pasukan.

Dan apabila beliau pulang, diharapkan beliau ketika itu menjadi pemain yang jauh lebih baik dan Malaysia pula sudah mempunyai seorang ketua jurulatih daripada luar negara seperti yang dikhabarkan setelah sekian lama.