Pelumba muda berbakat besar, Naquib Azlan sertai perlumbaan simulator untuk kagumkan Alex Yoong

200

Pelumba sukan simulator, Naquib Azlan mengakui niat sebenar menyertai sukan ini adalah kerana disebabkan pengaruh oleh bekas pelumba F1 negara, Alex Yoong.

Beliau yang cukup mengagumi kehebatan Alex di atas litar menjadikan peluang ini sebagai cabaran untuknya buktikan sesuatu kepada individu tersebut yang juga merupakan antara orang kuat eRacing Grand Prix di Malaysia.


“Saya telah bermain racing game semenjak kecil dan mengimpikan untuk menjadi pelumba satu hari nanti cuma tidak tahu bagaimana.

Sejujurnya sebab utama saya menyertai sukan ini adalah kerana Alex Yoong, bila saya tahu beliau yang menguruskan eRacing, itu yang memotivasikan saya untuk menyertai dan cemerlang di perlumbaan simulator,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Naquib baru sahaja selesai bertanding mewakili Malaysia di kejohanan virtual antarabangsa FIA Motorsports Games di Perancis bersama seorang lagi pelumba cilik negara, Alister Yoong yang merupakan anak kepada Alex.

Untuk beraksi di pentas sebesar ini, Naquib percaya tempoh latihan yang mencukupi akan membantu setiap pelumba untuk menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Beliau telah memperuntukkan sebilangan waktu pada setiap hari untuk terus berlatih dan meningkatkan kemahiran kawalan beliau.

“Untuk kami sebagai pelumba simulator semestinya perlu meletakkan masa yang banyak untuk berlatih kerana jika bukan kita, pihak lawan akan melakukan perkara tersebut.

Biasanya kami akan habiskan minimum 3 jam sehari disebabkan tangunggjawab untuk menyelesaikan urusan lain.”

Beliau yang juga merupakan salah seorang peserta di dalam acara Toyota Gazoo Racing Festival turut menganggap permainan simulator ini telah banyak membantu beliau bagi menghadapi perlumbaan sebenar.

“Saya rasa perlumbaan simulator sebenarnya banyak membantu dalam perlumbaan sebenar.

Kemahiran yang kita belajar daripada perlumbaan simulator mampu dibawa ke perlumbaan sebenar, mungkin ada sedikit perbezaan tetapi keseluruhannya adalah sama.”

Jika perlu memilih, Naquib lebih gemar untuk beraksi di perlumbaan simulator kerana ia akan menjadi sesuatu yang lebih mencabar.

“Kedua-duanya bagi saya adalah seronok tetapi perlumbaan simulator anda akan bertemu dengan pelumba antarabangsa.

Tahap kompetitif di peringkat antarabangsa adalah lebih tinggi dan menang di kejohanan simulator membuatkan saya lebih teruja dan puas.”