Siapa jadi pilihan Zamsaham untuk kendali Kelantan FC musim depan?

1,480

Kelantan FC sudah pun menamatkan musim mereka dengan keputusan yang agak cemerlang apabila berjaya menjadi naib juara Liga Perdana dan mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Pemilik The Red Warrior iaitu Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan Zamsaham nyata berbangga dengan pencapaian pasukannya yang berjaya mempamerkan kebangkitan luar biasa biarpun mereka sebelum ini hampir terkubur akibat masalah kewangan.


Kejayaan Kelantan pada musim ini membuatkan mereka menjadi pilihan untuk menjadi salah sebuah pencabar utama dalam saingan Liga Super pada musim hadapan.

Antara kunci kejayaan sesebuah pasukan adalah kehebatan seorang ketua jurulatih dalam merencana strategi dan taktikal dalam menghadapi satu perlawanan ke satu perlawanan lain.

Menyedari perkara itu, Zamsaham kini dilaporkan sedang dalam perancangan untuk membawa ketua jurulatih baru untuk mengendalikan pasukannya apabila ketua jurulatihnya ketika ini iaitu Rezal Zambery Yahya belum mempunyai lesen jurulatih A.









Zamsaham dalam kenyataan ringkas di laman sosial Facebook miliknya juga pagi tadi sempat melontarkan pertanyaan kepada peminat samada mahu beliau melantik ketua jurulatih tempatan atau pun import.

Rata-rata peminat memberi cadangan supaya beliau menggunakan khidmat ketua jurulatih tempatan kerana sesuai dengan bajet pasukan yang tidak besar, namun bukan sebarang jurulatih sebaliknya mempunyai trek rekod yang baik.

Jika Zamsaham mahukan seorang ketua jurulatih yang mempunyai pengalaman luas dalam saingan Liga Super, mungkin beberapa nama jurulatih ini boleh dipertimbangkan oleh beliau.

Datuk K. Rajagobal

Sumber foto: Sports247

Nama Rajagobal bukanlah asing bagi peminat Kelantan kerana beliau pernah mengendalikan pasukan itu pada musim 2001-2002. Beliau kini sudah pulang ke Malaysia selepas melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih untuk pasukan kebangsaan Brunei baru-baru ini, oleh itu sudah pasti beliau berbesar hati sekiranya diberi peluang sekali lagi untuk mengendalikan pasukan ini.

Tambahan pula, pengendali berusia 66 tahun ini mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam dunia kejurulatihan apabila pernah mengendalikan banyak pasukan seperti Selangor, PKNS FC, Sarawak dan juga skuad kebangsaan Malaysia.

B. Sathianathan

Sumber foto: MFL

Bekas ketua jurulatih Sarawak United FC, B. Sathianathan antara seorang lagi calon terbaik untuk membimbing Kelantan pada musim depan kerana beliau juga merupakan salah seorang jurulatih yang cukup berpengalaman. Beliau sebelum ini terpaksa melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih di Sarawak United kerana masalah kesihatan, namun kini sudah cergas dan mengakui bersedia untuk kembali menggalas tanggungjawab membimbing pasukan.

Beliau antara jurulatih yang cukup disegani kerana mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam saingan Liga Malaysia apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan besar termasuk Kelantan pada musim 2009-2010 sekaligus menjadi calon sesuai kerana sudah sedia maklum dengan suasana bola sepak Kelantan.

Alfredo Gonzalez

Sumber foto: Alfredo Gonzalez

Satu nama yang mungkin sudah dilupai oleh peminat Kelantan kerana Alfredo Gonzalez pernah mengendalikan pasukan itu pada tahun 2017. Gonzalez ketika ini tidak terikat dengan mana-mana kelab apabila kontraknya bersama kelab Bechem United telah tamat pada Jun lalu, jadi sudah pasti tiada masalah untuk beliau kembali ke Kota Bharu.

Beliau bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan, tetapi juga mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Teknikal dan Pengarah Sukan. Tambahan pula, dengan pengalaman bersama Kelantan sebelum ini mungkin akan memudahkannya untuk menyesuaikan diri bersama pasukan Kelantan yang baru ini.

Aidil Sharin Sahak

Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Aidil Sharin Sahak juga mampu menjadi pengendali terbaik untuk Kelantan pada musim hadapan kerana beliau mempunyai trek rekod yang cukup cemerlang ketika bersama Sang Kenari sebelum ini.

Pemilihan Aidil mungkin akan menjadi pilihan terbaik buat Zamsaham kerana beliau menyedari untuk membentuk skuad yang terbaik ia memerlukan masa dan Aidil adalah jurulatih pada tepat untuk merealisasikan visi itu. Pengendali dari Singapura itu mempunyai falsafah bola sepak moden selain sering membangunkan pemain-pemain muda berkualiti.

Jika Zamsaham dapat meletakkan sasaran realisitik berdasarkan bajet yang ada buat Aidil, sudah pasti beliau mampu jadikan pasukan Kelantan antara salah sebuah pasukan terbaik di Liga Malaysia. Aidil juga sebelum ini dikaitkan dengan pasukan Penang FC dan ini memberikan petanda bahawa beliau masih berminat untuk kekal di Liga Malaysia.

Bagaimanapun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan terbaru mengenai Aidil ke Penang, oleh itu masa ini adalah paling sesuai untuk pengurusan Kelantan sekiranya mahukan khidmat Aidil.

Asri Ninggal

Sumber foto: HM

Nama Asri Ninggal mula dikenali selepas mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih interim (sementara) selepas Melaka United FC merehatkan Risto Vidakovic apabila pasukan mempamerkan prestasi hambar pada awal musim. Berikutan itu, Asri yang merupakan penolong ketua jurulatih telah diberikan tanggungjawab besar itu.

Biarpun kurang pengalaman, namun Asri berjaya membimbing pasukan itu walaupun terpaksa berdepan pelbagai masalah termasuk tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan. Dengan segala kemelut yang berlaku, beliau tetap berjaya membawa pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10 liga.

Asri juga kini tidak mempunyai kelab buat masa ini selepas Melaka United tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan berikutan gagal dapat Lesen Kebangsaan. Oleh itu, mungkin beliau mempunyai potensi untuk menyertai Kelantan. Walaupun kurang pengalaman, namun faktor gaji yang tidak semahal seperti nama-nama jurulatih di atas ini mungkin akan menjadi pilihan.

Siapa pun yang dilantik sebagai ketua jurulatih Kelantan yang baru, apa yang penting adalah peminat harus terus beri sokongan padu buat pasukan kerana tanpa sokongan peminat, pasukan tidak akan mampu terus bersaing.

Seperti yang sering diperkatakan oleh Zamsaham, jika peminat mahu beliau berbelanja besar untuk pasukan, peminat juga perlu turut bantu sokong pasukan kesayangan.