Faisal Halim kecewa dituduh tidak profesional, tidak akan bermain menentang Selangor sekiranya sudah ‘sign’ kontrak

1,727

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim meluahkan kekecewaannya tatkala wujud beberapa perkhabaran sebelum ini yang mengatakan bahawa beliau telah menandatangani kontrak bersama pasukan lain.

Kelab yang dikaitkan adalah lawan mereka di separuh akhir Piala Malaysia malam ini (16 November), Selangor FC yang berjaya menewaskan skuad Terengganu dengan keputusan 3-1.


Beliau juga mempertahankan perkara tersebut dengan aksi pada pertemuan sebelum ini di saingan separuh akhir Piala FA Julai lalu di mana Faisal turut muncul selaku penjaring gol ketika Terengganu menewaskan Selangor.

“Kalau saya dah buat keputusan mesti saya dah umum, kalau saya dah tandatangan dengan Selangor bulan enam, saya tidak akan jaringkan gol pada perlawanan Piala FA sebelum ini menentang Selangor.

“Kalau saya tidak profesional, saya tidak akan bermain pada malam ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau juga turut menyatakan hasrat dari lubuk hatinya untuk kekal lebih lama bersama Terengganu memandangkan pasukan ini telah membantu meningkatkan kualiti permainan beliau untuk muncul antara pemain tempatan yang menyinar musim ini.

Tapi dengan apa yang berlaku ketika ini, keputusan tersebut bakal dipertimbangkan semula oleh pemain licik tersebut dalam masa terdekat.

“Jujur saya katakan bahawa saya ingin kekal tetapi keputusan tidak sewajarnya telah berlaku, apa yang saya boleh buat adalah untuk berjuang sehabis baik dengan pasukan Terengganu.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat dan pengurusan yang telah menjaga saya dengan baik, apa yang perlu sekarang adalah misi untuk bawa Terengganu sekali lagi ke final.”

Pada masa yang sama, beliau juga turut berasa sedih dengan keadaan semasa yang menghimpit pasukan Terengganu ketika ini sehingga memberi kesan kepada moral pemain pada malam ini.

Beliau melihat isu berkenaan status ketua jurulatih, Nafuzi Zain sebelum ini yang menjadi semakin kritikal memberi kesan besar kepada aksi buruk Terengganu pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Malaysia bertemu Selangor.

“Sebenarnya benda ini tidak perlu diperbesarkan kerana kita dalam prestasi yang baik, tiba-tiba ada satu isu mengganggu semua fikiran.

Bukan saya seorang, semua pemain tetapi kami cuba elak untuk terlalu tertekan dan bila kalah pada mala mini, perkara ini jadi kembali berbangkit.”

Namun, beliau tetap percaya bahawa skuad Sang Penyu mampu menebus semula kekecewaan untuk menghidupkan peluang pasukan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Terengganu perlu memastikan kemenangan melebihi tiga jaringan bagi membolehkan mereka menebus semula kehampaan dan mengelak daripada tersingkir.

“Sudah tentu kecewa dengan tiga sepakan sudut dan tiga gol, siapa sangka dari segi permainan bukan Terengganu bermain teruk cuma kita tidak berjaya jaringkan gol.

Ini kali pertama kami merasa kekalahan selepas kami kalah di final Piala FA, tapi pasukan Terengganu tidak perlu terlalu kecewa kerana kita masih mempunyai baki 90 minit.”