Winner takes all! Luka Modric dan rakan sepasukan perlu buktikan sesuatu menentang Belgium untuk merampas tiket R16

96

Pasukan Croatia telah memperlihatkan taring sebenar apabila berjaya menumbangkan Kanada 4-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan F Piala Dunia 2022 awal pagi tadi.

Walaupun pada mulanya Croatia sedikit goyah apabila dikejutkan dengan gol awal Kanada pada minit ke-2 melalui Alphonso Davies, namun mereka tidak mudah melatah sebaliknya terus melancarkan serangan demi serangan dan berjaya menjaringkan empat gol.


Empat gol tersebut dijaringkan oleh Andrej Kramaric (minit ke-37 & 70), Marko Livaja pada minit ke-44 dan Lovro Majer pada minit ke-90+4.

Kemenangan ini semestinya memberi tonik tambahan buat anak buah Zlatko Dalic selepas memulakan kempen Piala Dunia dengan perlahan apabila sekadar seri tanpa jaringan ketika menentang Morocco.

Aksi memukau yang dipamerkan oleh skuad The Checkered Ones turut memperlihatkan kehebatan pemain tengah mereka iaitu Luka Modric yang masih lagi berbisa walaupun merupakan pemain paling tua di atas padang iaitu berusia 37 tahun.

Walaupun mereka kini berada di puncak kumpulan, namun Modric dan rakan sepasukan masih lagi perlu buktikan sesuatu apabila menentang Belgium pada perlawanan terakhir kumpulan untuk mengesahkan tempat mereka di pusingan 16 terbaik.

Berdasarkan rekod terdahulu, pertembungan antara kedua-dua pasukan ini seimbang dengan masing-masing pernah menang tiga kali, kalah tiga kali dan seri dua kali.

Tidak dapat dinafikan gabungan pemain senior dan muda dalam skuad kali ini telah menjadikan Croatia satu skuad yang cukup ampuh kali ini.

Kekuatan pasukan Croatia sudah pastinya terletak kepada The Golden Triangle iaitu Modric, Mateo Kovacic (28 tahun) dan Marcelo Brozovic (30 tahun) telah mempamerkan dominasi di bahagian engine room.

Tidak lupa juga kehebatan Dejan Lovren (33 tahun) dalam pertahanan dan dua lagi penyerang berbisa, Ivan Perisic (33 tahun) dan Andrej Kramaric (31 tahun).

Perlawanan pagi tadi merupakan penampilan 157 buat Modric; Kovacic 86 penampilan; Brozovic 79 penampilan; Lovren 74 penampilan; Perisic 118 penampilan dan Kramaric 76 penampilan.

Disebalik kecemerlang pemain Croatia, namun aksi Modric terus menjadi perhatian kerana walaupun beliau sudah berusia hampir 40 tahun, namun corak permainannya masih berkelas dunia umpama pemain muda.

Bukan sahaja cemerlang bersama skuad kebangsaan, Modric juga sangat cemerlang bersama kelabnya, Real Madrid apabila beliau telah menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu sehingga tahun 2023.

Lanjutan kontrak itu menyaksikan beliau terus kekal bersama gergasi dari Sepanyol itu selama 11 musim.

Untuk rekod, musim ini beliau sudah diturunkan dalam 13 daripada 14 perlawanan dan hanya tidak diturunkan pada satu perlawanan akibat kecederaan.

Ketua jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti sendiri mengakui bahawa Modric adalah seorang pemain yang cukup penting dalam skuadnya dengan melabel pemainnya itu sebagai ‘immortal’.

Malah Ancelotti juga memuji pemain itu dengan berkata Modric seorang pemain yang sentiasa bersedia untuk diturunkan dan apabila diturunkan beliau akan mempamerkan aksi cemerlang.

Perkara sama turut diakui oleh pengendali pasukan kebangsaan Croatia, Dalic yang mengakui Modric adalah pemain bintang dan merupakan pemain terbaik di dunia.

Tambahnya lagi, walaupun pemain itu sudah berusia tetapi permainan beliau cukup bertenaga seperti pemain muda.

Rakan sepasukan Modric di Real Madrid yang juga pemain tengah yang meningkat naik dari Perancis, Aurelien Tchouameni turut mengakui perkara sama dengan berkata; “Saya boleh beritahu anda untuk rampas bola dari kaki Luka sangat sukar. Apabila anda mampu melakukannya dari seorang pemain sepertinya, anda boleh lakukan kepada sesiapa sahaja.”

Dalam lima musim terakhir dari 2018-19 hingga 2022-23, Modric telah beraksi dalam 240 perlawanan dengan menjaringkan 23 gol dan 36 bantuan gol.

Sepanjang tempoh lima musim terakhir juga, Modric telah berjaya memperoleh pelbagai kejayaan individu dan pasukan termasuk Ballon d’Or (2018), UEFA Best Player In Europe (2018), The Best FIFA Men’s Player (2018), Player Of The Year (2017), FIFA Club World Cup (2x), UEFA Champions League (3x), La Liga (3x), UEFA Supercup (3x) dan Spanish Super Cup (3x).