Terikat dengan komitmen di kelab jadi punca Aysar Hadi dan Daryl Sham tak dipanggil untuk kem latihan pusat skuad B-23

1,305

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan menjelaskan bahawa pihaknya tidak dapat memanggil dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT II) iaitu Aysar Hadi dan Daryl Sham menyertai kem latihan pusat kerana mereka terikat dengan komitmen di kelab.

“Sebab mereka ada komitmen dengan kelab jadi kita terpaksa menerima yang mereka tidak dapat datang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Terdahulu, Elavarasan telah menyenaraikan 25 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Muda yang berlangsung dari 27 November hingga 6 Disember ini yang mana ia adalah sebagai persiapan untuk mengharungi beberapa kejohanan antarabangsa seperti Piala AFF B-23 2023, Sukan SEA 2023 dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024.


Dalam pada itu, Elavarasan berkata tujuan kem latihan pusat yang diadakan ini adalah untuk memastikan pemain-pemain B-23 dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan yang dilakukan seperti skuad utama.

“Terima kasih kepada pemain yang sanggup mengorbankan waktu cuti mereka untuk bersama dalam kem latihan ini. Sebenarnya kita nak terapkan modul FAM yang mana kita sasarkan pemain-pemain ini dapat membiasakan diri apa yang kita buat dengan skuad utama supaya mereka akan bersedia untuk kem-kem pada masa akan datang.

Ia akan menjadi tempat persediaan untuk pemain-pemain ini sekiranya mereka akan dapat panggilan untuk skuad utama nanti.”

Elavarasan yang juga merupakan penolong ketua jurulatih untuk skuad utama Harimau Malaya turut meluahkan rasa gembira melihat komitmen tinggi yang dipamerkan oleh setiap pemain yang kem latihan kali ini, selain cepat serasi.

Beliau pada masa sama turut menjelaskan skuad B-23 akan menerapkan corak permainan sama seperti skuad utama tetapi lebih agresif.

“Saya rasa sebagai pemain muda mereka perlu lebih agresif dari skuad utama sebab bila mere agresif dalam setiap posisi yang anda main, itu akan memberi mereka peluang untuk naik ke skuad utama.”