Petah menjawab dalam Bahasa Inggeris, Faisal Halim contoh terbaik buat pemain tempatan apabila ditemubual

41,371

Pemain sayap, Faisal Halim sekali lagi menjadi wira negara apabila menghadiahkan satu gol penting dalam perlawanan pertama Piala AFF menentang Myanmar semalam.

Bukan sahaja aksi serta kelincahannya di dalam padang yang menjadi tumpuan, temubual yang dilakukannya selepas perlawanan turut mendapat pujian ramai.


Faisal dipuji gara-gara keyakinan dan kepetahan yang ditunjukkan ketika menjawab soalan dalam Bahasa Inggeris.

Walaupun ia sebenarnya bukanlah satu perkara yang besar, dalam konteks bola sepak tempatan, beliau merupakan antara pemain yang petah dan yakin menjawab apabila ditemubual.

Berdasarkan pengalaman menemubual ramai pemain di lapangan, ramai sebenarnya pemain tempatan yang tidak mempunyai skil untuk bercakap dengan media.

Apa yang lebih teruk adalah, terdapat juga pemain yang cuba sedaya-upaya untuk lari atau mengelak daripada ditemubual oleh media.

Malah, ada juga kelab yang tidak memberi kerjasama untuk menjalankan sesi temubual dan cuba ‘menyimpan’ pemain mereka daripada berhadapan dengan media.

Mungkin dari segi karakter, Faisal sememangnya seorang yang peramah dan beliau mempunyai kelebihan apabila berdepan dengan media.

Namun, sebagai seorang pemain bola sepak profesional, cara-cara berkomunikasi adalah antara perkara yang perlu dititikberatkan.

Ini yang perlu dititikberatkan oleh kelab-kelab tempatan supaya pemain-pemain mereka tidak kekok apabila berdepan dengan media.

Tiada masalah rasanya untuk melatih para pemain dari segi komunikasi supaya tiada masalah apabila berdepan media.

Seperti pembangunan dari segi bola sepak yang dititikberatkan daripada peringkat akar umbi, skil komunikasi juga harus juga diajar kepada para pemain sejak mereka masih muda.

Bukanlah mahu pemain yang boleh memberi ucapan atau syarahan yang panjang, tetapi sekadar membentuk keyakinan dan cara yang betul apabila berdepan media atau ketika ditemubual.

Lihat saja contoh di liga utama dunia di mana kebanyakan para pemain tidak mempunyai masalah untuk berhadapan dengan media, walaupun tidak fasih dalam bahasa yang digunakan di negara itu.

Apa yang penting adalah keyakinan untuk bercakap dan skil untuk menjawab soalan yang diberikan.

Mungkin kepetahan yang dimiliki Faisal adalah salah satu faktor ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon memberikan lilitan kapten kepadanya.

Inilah yang harus dicontohi oleh pemain-pemain lain bukan sahaja dalam skuad kebangsaan ketika ini tetapi juga pemain tempatan lain.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen