Skuad negara tak tempang walaupun ketiadaan Azam Azmi, Khuzaimi Piee – Afro

658

Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Shahrul Nazeem tidak melihat ketiadaan Azam Azmi dan kemungkinan juga Khuzaimi Piee pada perlawanan kalah mati menentang Singapura nanti akan menyebabkan skuad negara tempang kerana setiap pemain yang berada dalam skuad mempunyai kualiti masing-masing.

“Ketiadaan kedua-dua pemain itu mungkin sedikit merencatkan percaturan coach Kim Pan-gon, tapi bagi saya mungkin beliau ada perancangan lain yang akan terapkan nanti kerana kita tahu setiap pemain mempunyai pengganti yang berkualiti.

Jadi saya rasa skuad negara tidak tempang langsung kerana semua pemain yang dipilih oleh coach semuanya berpotensi dan bagus,”

katanya.

Terdahulu pengendali Harimau Malaya kehilangan dua tonggak pertahanan iaitu Khuzaimi Piee atas sebab kecederaan dan Azam Azmi akibat dilayangkan kad merah ketika menentang Vietnam baru-baru ini.


Dalam pada itu, Shahrul Nazeem atau lebih mesra dengan panggilan Afro tidak mahu memandang rendah terhadap kemampuan pasukan Singapura kerana mereka juga mempunyai pemain-pemain berkualiti yang mampu merobek gawang negara.

“Kita tahu Vietnam ada kelebihan menentang Singapura malam ini, tapi kita tidak boleh ambil mudah, jadi kita kena pulun habis-habisan untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir nanti.”

Afro pada masa sama turut mengakui kecederaan yang dialaminya juga semakin pulih dan dijangka akan cergas sepenuhnya sebelum perlawanan itu nanti.

Beliau turut nekad untuk tidak membenarkan pihak lawan menjaringkan gol seperti yang berlaku ketika menentang Vietnam baru-baru ini apabila mereka tumpas 3-0 dalam perlawanan yang cukup kontroversi.

Malaysia akan menentang Singapura pada perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Januari 2023 nanti yang mana mereka dalam misi wajib menang jika mahu layak ke peringkat separuh akhir.