Saya sanggup kena potong gaji untuk kekal di Sri Pahang FC, tapi kami gagal capai kata sepakat – Lee Tuck

5,152

Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck menjelaskan perpindahannya ke Kedah Darul Aman FC (KDA) dibuat selepas beliau dan bekas pasukannya Sri Pahang FC gagal mencapai kata sepakat.

Menurut Lee Tuck, beliau sememangnya mahu kekal di Darul Makmur pada musim 2023 sekaligus menyangkal dakwaan kononnya beliau tidak kenang budi selepas kelab itu berusaha keras untuk menaturalisasikan beliau.


“Sejujurnya ketika saya berbincang dengan pengurusan Sri Pahang selepas menunggu beberapa bulan untuk menanti samada mereka akan menawarkan kontrak baru atau tidak kerana saya memang mahu kekal bersama kelab itu.

Saya juga berkata sanggup potong gaji untuk kekal di kelab itu, tapi malangnya kami gagal capai kata sepakat. Sri Pahang sebuah kelab yang hebat tapi inilah lumrah bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Berikutan itu, pemain berusia 34 tahun itu telah mengambil keputusan untuk menyarung jersi Hijau Kuning pada musim depan di bawah kendalian Nafuzi Zain.

Lee Tuck berkata apa yang berlaku ketika ini langsung tidak menjejaskan persiapannya bersama pasukan kebangsaan yang sedang beraksi dalam kejohanan Piala AFF 2022.

Dalam pada itu, bercerita mengenai persiapan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan B menentang Singapura pada 3 Januari 2023 ini, beliau tidak menafikan pentingnya untuk menggunakan peluang set pieces yang ada untuk menjaringkan gol, tetapi beliau tidak melihat perkara itu wajib kerana skuad negara mempunyai kemampuan untuk menjaringkan gol padang.

“Tidak semestinya kerana kita mempunyai kualiti untuk menjaringkan gol dalam open play. Kita boleh fokus untuk mencari gol dari set pices tapi kita mempunyai kualiti pemain serangan yang mampu meledak dan saya fikir pemain Singapura sudah pasti akan menyedarinya.”

Sementara itu, beliau juga menyedari bahawa perlawanan menentang Singapura nanti adalah perlawanan yang sukar kerana pihak lawan sudah semestinya akan bermain secara bertahan untuk menghalang skuad negara dari menjaringkan gol.

Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah perlawanan wajib menang buat skuad kendalian Kim Pan-gon kerana mereka perlu mengutip tiga mata sekiranya mahu mara perlawanan separuh akhir.