Kemalangan maut di Litar Dato’ Sagor, kerajaan harus buka mata kelemahan sukan permotoran di Malaysia

2,197

Sukan permotoran negara dikejutkan dengan tragedi menyayat hati semalam apabila seorang penonton terkorban pada pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor di Kampong Gajah, Pasir Salak.

Menurut siasatan pihak polis, insiden itu berlaku akibat dua buah kereta hilang kawalan selepas bergesel sesama sendiri lalu merempuh penonton yang berdiri di kawasan berumput.


Ia berlaku tidak lama selepas kemalangan maut dalam perlumbaan ‘Battle of The King (BOTK) 2022’ yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak Oktober lalu yang melibatkan pemandu.

Dalam kejadian itu, pihak Motorsports Association of Malaysia (MAM) telah tampil mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa acara tersebut tidak diluluskan dan dikawal selia oleh pihaknya.

Ia menunjukkan bahawa terdapat kelemahan yang jelas nyata dalam arena sukan permotoran di negara ini.

Insiden yang berlaku semalam juga menimbulkan tanda tanya mengapa boleh terdapat penonton di dalam kawasan litar tersebut?

Mengapakah penganjur boleh membenarkan kawasan di dalam trek dimasuki oleh penonton sedangkan tahu bahawa ia sama sekali tidak selamat.

Dengan dua kejadian yang menyayat hati pada tahun ini, arena permotoran harus berubah secara menyeluruh terutama dari segi keselamatan.

Pihak kerajaan haruslah proaktif dalam memantau segala aktiviti sukan permotoran di negara ini dan bekerjasama rapat dengan pihak MAM dalam meningkatkan tahap sukan itu di negara ini.

Penganjur yang terlibat juga harus dibawa ke muka pengadilan dan bertanggungjawab atas kehilangan nyawa penonton tersebut.

Ia juga harus menjadi pengajaran buat penganjur lain serta mereka yang terlibat dalam sukan permotoran, tidak kiralah secara langsung atau hanya sebagai penonton, mengenai aspek keselamatan.

Sukan permotoran merupakan antara sukan yang paling berbahaya, justeru segala yang berkaitan mengenai keselamatan perlulah berada di tahap yang paling tinggi.