Terpaksa jual rumah untuk ‘survive’, kitman nak cuci jersi di dobi pun kena guna duit sendiri – Pemain Sarawak United FC

2,414

Terpaksa jual rumah untuk ‘survive’, kitman nak cuci jersi di dobi pun kena keluar duit sendiri – Pemain Sarawak United FC

Isu tunggakan gaji Sarawak United FC nampaknya masih belum menemui jalan penghujung dengan beberapa pemain mendedahkan kepada Harimau Malaya bahawa mereka tidak menerima gaji sehingga empat bulan.


Menurut pemain-pemain Sarawak United, bayaran terakhir yang dilakukan adalah pada bulan Ogos tahun lalu.

Tunggakan itu juga menyebabkan beberapa pemain kelab itu berdepan kesukaran untuk kelangsungan hidup mereka sehingga terpaksa menjual aset dan sebagainya.

Salah seorang pemain Sarawak United, S. Chanthuru mendedahkan beliau terpaksa menjual salah satu rumahnya untuk mendapatkan wang bagi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, perkara itu terpaksa dilakukan kerana beliau sudah tidak menerima gaji selama tiga bulan.

“Setiap bulan saya pening nak sara hidup, sampai akhirnya saya terpaksa jual satu rumah untuk bayar komitmen termasuk selesaikan hutang.

Saya dah terlibat dalam arena bola sepak lebih 10 tahun tetapi masalah ini memang setiap tahun ada, masa awal karier saya dulu pun kelab yang saya sertai bermasalah sehingga terpaksa pinjam wang daripada pemain senior,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau menasihatkan pemain-pemain muda supaya membaca kontrak dengan teliti dan memastikan sesuatu kelab tidak mempunyai masalah kewangan sebelum menandatangani kontrak.

Sementara itu, penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid pula mendedahkan bahawa beliau telah dihalau pemilik rumah sewa kerana kelab tidak menjelaskan duit sewa bulanan.

Menurutnya, duit sewa rumahnya telah ditetapkan untuk ditolak daripada gaji bulanan dan pihak Sarawak United sepatutnya menjelaskan bayaran.

“Pemilik rumah sewa suruh saya keluar rumah kerana kelab tidak bayar sewa yang sepatutnya ditolak dari gaji saya.

Bukan saya tak nak bayar sendiri tetapi saya pun tiada wang, jika pemilik tahu hal ini pasti dia faham situasi saya.”

Menurutnya, bukan sahaja pemain yang tidak dibayar gaji tetapi staf lain termasuklah kitman pasukan.

Seorang lagi bekas pemain Sarawak United, Raja Imran Shah mendedahkan bahawa kitman pasukan sehingga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mencuci jersi di dobi kerana tidak menerima wang daripada pihak pengurusan.

Beliau berkata, wang deposit yang dibayar untuk rumah sewanya di Kuching terpaksa ‘dikorbankan’ begitu saja kerana kelab lambat membayar gaji.

“Bayangkan kitman nak pergi dobi untuk cuci jersi pun harus keluarkan duit sendiri kerana susah nak dapatkan wang dari kelab.

Dalam tempoh setahun ini ada pemain yang dikejar oleh pemilik rumah sewa sebanyak tiga, empat kali sebab tak bayar sewa. Deposit rumah sewa saya pula dah burn sebab kelab lambat bayar gaji.”

Beliau juga meluahkan rasa tidak puas hati Sarawak United dan juga Melaka United dibenarkan untuk bertanding dalam Liga M3 musim depan walaupun menghadapi masalah tunggakan gaji.

Menurutnya, sepatutnya kelab yang mempunyai masalah tersebut tidak diberi lesen untuk bersaing dalam mana-mana kejohanan sekalipun.

Untuk rekod, Sarawak United sebelum ini gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Malaysia musim depan selepas tidak memenuhi kriteria mendapatkan lesen daripada Malaysian Football League (MFL).